Deepavali lebih bermakna bersama ‘ayah’ dan ‘ibu’ baharu

Share

Berkongsi kasih biarpun tiada pertalian darah, tidak membataskan hubungan buat pasangan India, L. Linda Kasturi dan suaminya, R. Karthik bersama ‘ayah’ dan ‘ibu’ baharu yang berlainan bangsa dan agama.

Bahkan, sambutan Hari Deepavali pada hari ini juga turut diraikan bersama keluarga baharu itu, iaitu Mohamad Fakhrulzaman Abdul Malik, 57, dan Rohayati Salleh, 46, yang sudah tinggal bersama mereka sejak enam bulan lepas, walaupun tidak pernah mengenali antara satu sama lain sebelum ini.

Linda, 39, mengakui perayaan Pesta Cahaya kali ini ternyata berbeza seperti tahun sebelumnya, memandangkan kedua ibu bapa baharunya itu turut bersama meraikannya selain turut ‘melengkapkan’ lagi keluarganya, meskipun perayaan itu disambut secara sederhana.

“Jika ‘ayah dan ibu’ tidak tinggal bersama, mungkin saya tidak akan sambut Hari Deepavali pada hari ini berikutan rumah dilanda banjir baru-baru ini, sehingga menyebabkan saya hilang semangat untuk menyambutnya.

“Bagaimanapun, ia merupakan pengalaman pertama ibu dan ayah menyambut Deepavali, jadi saya tetap teruskannya juga supaya mereka dapat merasai pengalaman baharu ini,” katanya kepada Bernama.

Pada 10 November lepas, Bernama melaporkan mengenai Linda dan suaminya, R. Karthik, 35, telah mempelawa Mohamad Fakhrulzaman dan Rohayati yang mesra dipanggil ayah dan ibu untuk tinggal bersama sejak enam bulan lepas.

Kedua-dua mereka hanya dikenali ketika Linda dan suami yang menjalankan perniagaan perabot terpakai, ingin membeli sebuah peti ais yang dijual pasangan itu, ekoran kesempitan hidup berikutan diberhentikan kerja sebagai tukang masak susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu.

Mengenai soal makanan, ibu kepada dua anak berusia 10 bulan dan 11 tahun itu berkata, dia turut dibantu ibunya dalam menyediakan juadah tradisional India, sebagai persiapan menyambut Hari Deepavali.

“Paling menarik, kami sekeluarga masak bersama-sama. Malam tadi, ibu dengan ibu kandung saya iaitu S. Kamala Devi sama-sama membuat kuih muruku. Pagi tadi pula, kami masak tosai dan idli untuk sarapan pagi dan sekejap lagi kami akan masak nasi briyani dan ayam sambal, yang merupakan makanan kegemaran ayah,” katanya.

Tambahnya, ia mampu merapatkan lagi hubungan mereka, selain turut berharap akan berpeluang meraikan Hari Raya Aidilfitri dan berpuasa pada Ramadan kelak, bersama keluarga baharunya itu.

Dalam pada itu, Mohamad Fakhrulzaman berkata, tidak ada istilah janggal baginya bersama ahli keluarga lain, untuk menyambut Hari Deepavali kerana mereka sudah dianggap seperti keluarga sebenar.

Berkongsi pengalamannya, Mohamad Fakhrulzaman mengakui rasa teruja kali pertama menyambut perayaan itu, selain turut dapat memahami budaya dan perayaan kaum lain.

“Dari segi tradisi, makan kuih tradisional dan juadah bersama keluarga serta memberi duit raya, ia sama seperti kaum Melayu meraikan Hari Raya Aidilfitri.

“Kasih sayang yang tulus sesama keluarga itu lebih penting meskipun berlainan agama dan bangsa. Ia tidak menjadi masalah kerana kami menghormati kepercayaan dan agama masing-masing,” katanya. – BERNAMA

(VIDEO] Deepavali punya pasal, sanggup pandu lawan arus di Lebuhraya PLUS

Leave a Reply