Anwar telah diberi peluang, bila negara di saat krisis, Anwar gagal mentadbirnya – Mahathir

Share

Ketika pentadbiran PH, Dr Mahathir yang ketika itu perdana menteri berkata akan menyerahkan jawatan itu kepada Anwar Ibrahim tetapi membayangkan – di belakang tabir – tidak akan membantu meraih sokongan secukupnya kepada presiden PKR itu.

Dalam usaha pembangkang untuk kembali mendapat kuasa di peringkat persekutuan, kedua-duanya juga tidak mencapai kata sepakat dalam soal calon perdana menteri.

Kini, Mahathir secara terbuka berkata Anwar tidak layak memegang jawatan itu.

Dalam wawancara bersama The Malaysian Insight yang diterbitkan hari ini, Mahathir berkata bekas timbalannya itu tidak mampu mengemudi negara jika berlakunya krisis kewangan, dengan menyorot krisis ekonomi pada 1997 sebagai contoh.

“Kita telah uji kebolehan beliau semasa saya jadi perdana menteri. Saya telah bercuti selama dua bulan (antara Mei dan Julai 1997) dan Anwar dilantik sebagai perdana menteri pada masa itu.

“Terpulanglah kepada kita untuk menilai sama ada dia mempunyai keupayaan untuk mentadbir negara dengan baik.

“Saya tidak tahu penilaian yang akan dibuat oleh rakyat tetapi yang jelasnya dalam krisis kewangan 1997/98 dia tidak berkeupayaan,”

Anwar kemudian dipecat daripada jawatan timbalan perdana menteri dan menteri kewangan setahun kemudian. Dia melancarkan gerakan Reformasi untuk melawan Mahathir dan kemudian dijatuhkan hukuman penjara.

Anwar Cuba Cuci Tangan Krisis Ekonomi 1997. Ada 6 Soalan Yang Perlu Dijawab Oleh Anwar – Najib

 

Berbaik sebelum kembali keruh

Bagaimanapun, kedua-duanya berdamai buat sementara waktu menjelan PRU14 untuk menentang Najib Razak yang merupakan perdana menteri ketika itu.

Kerjasama itu membawa kepada gabungan PH, yang terdiri daripada Bersatu di bawah pimpinan Mahathir, PKR, Amanah dan DAP.

PH berjaya menewaskan BN dan Mahathir dilantik sebagai perdana menteri ketujuh dengan kesepakatan jawatan itu akan diserahkan kepada Anwar kemudian.

Bagaimanapun, Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin membawa keluar parti itu daripada PH pada akhir Februari, membentuk kerajaan baru – Perikatan Nasional (PN).

Susulan daripada kejatuhan kerajaan PH, hubungan antara Anwar dan Mahathir kembali keruh.

Dalam wawancara itu, Mahathir mempersoalkan penilaian Anwar dalam menangani krisis kewangan Asia 1997 yang menurutnya mahu mengikut langkah yang disarankan Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

“Saya pernah berkata kepadanya kalau kita ikut mereka, negara mungkin tidak akan ada dana yang cukup untuk membayar gaji, tetapi dia masih terus dengan pendiriannya menyokong IMF dan Bank Dunia.

“Sebab itu saya terpaksa ambil alih kerajaan daripada menteri kewangan dan merancangkan pendekatan untuk memulih semula negara kita,” katanya lagi seperti dipetik.

Mahathir mengambil beberapa langkah tidak konvensional semasa krisis kewangan Asia, termasuk menambat ringgit pada kadar 3.80 bagi setiap dolar AS.

Langkah itu dikritik secara meluas oleh masyarakat antarabangsa tetapi diperakui oleh IMF sebagai tepat selepas Malaysia menjadi antara negara yang cepat pulih daripada krisis tersebut.

Leave a Reply