“Syukur Allah Masih Beri Peluang Saya Hidup Lagi” – Datuk M Daud Kilau
TELUK INTAN: Ucapan syukur tidak putus-putus dipanjatkan seniman tersohor negara, Datuk M Daud Kilau kerana masih diberi kesempatan oleh Allah untuk bernafas.
Ketika melalui saat-saat kesesakan nafas pada Khamis, penghibur legenda itu berkata, beliau sudah bersedia untuk dijemput kembali kepada Pencipta.
“Saya serah pada Allah. Dia yang hidup dan matikan kita. Saya ingat semalam (Khamis) semasa sesak nafas (saya) sudah tiada lagi kerana seperti sudah di hujung nafas.
“Namun, Alhamdulillah, Allah masih sayang saya lagi dan memberi peluang untuk saya bernafas. Terima kasih Allah, terima kasih sangat-sangat,” kata M Daud kepada Astro AWANI.
Dalam nada yang lemah, M Daud yang berusia 83 tahun berkata, sekumpulan doktor di Hospital Teluk Intan bukan sekadar memberi rawatan yang terbaik bahkan sentiasa memberi semangat kepadanya untuk bertarung dengan kesakitan.
Kini, walaupun masih lemah, namun, kata penyanyi lagu Cek Mek Molek dan Gila Judi itu, beliau masih berupaya untuk bercakap dengan lancar serta mempunyai selera makan serta masih mengenali ahli keluarga dan rakan-rakan yang menziarahinya.
“Saya faham dalam keadaan sekarang akibat COVID-19 ramai yang tidak boleh menziarahi saya, tidak mengapa, memadai mendoakan saya dari jauh. Saya amat hargai.
“Kepada rakan-rakan artis dan peminat-peminat saya di mana sahaja saya minta ampun dan maaf sekiranya sepanjang kita berkenalan saya terkasar dan tersilap,” kata M Daud sambil menitiskan air mata.
BACA: “Sedekahkan Al-Fatihah kalau saya ‘pergi'”- M Daud Kilau
Sehubungan itu, seniman itu, kata Dr Noor Azira akan diberikan rawatan ubat yang sewajarnya selain bantuan oksigen untuk membantu melancarkan pernafasan beliau.
“Beliau mungkin akan dirawat di hospital ini sekurang-kurangnya lima sebelum dibenarkan pulang. Ada juga rancangan untuk merujuk beliau ke Institut Jantung Negara bagi rawatan selanjutnya,” kata Dr Noor Azira lagi.
Menceritakan mengenai keadaan M Daud, Datin Rohani Awang Ngah bersyukur kerana suaminya sudah mula menunjukkan perkembangan yang positif pada pagi ini.
Selepas memandikannya pagi tadi, Rohani berkata, suaminya kelihatan begitu segar sekali selain sudah berselera untuk makan.
“Semoga beliau akan segera sembuh dan kembali semula ke rumah,” kata Rohani lagi.
Pada Khamis, M Daud dilaporkan dikejarkan ke hospital selepas mengalami sesak nafas- AWANI
You must be logged in to post a comment.