Suami isteri pekak, bisu cekal cari rezeki

Kuala Lumpur: Kekurangan diri disebabkan masalah pendengaran dan bisu bukan alasan untuk pasangan suami isteri, Muhamad Salahudin Yaacob dan Nurul Hidayah Kamaruzaman bergantung hidup dengan meminta belas ihsan individu di sekeliling mereka.

Sebaliknya, Nurul Hidayah, 29, dan Muhamad Salahudin, 28, yang menetap di Flat Desa Tasik, Sungai Besi gigih mencari rezeki dengan menjual kebab ayam dan daging berharga RM4 setiap satu.

Bercerita lanjut, Nurul Hidayah, dia adalah guru taman asuhan kanak-kanak (taska) di Dewan Bahasa Pustaka (DBP) di sini manakala suaminya bekerja sebagai pemandu e-hailing.

Namun, penutupan sementara taska akibat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mendorongnya menjual kebab sejak 23 Oktober lalu sebagai alternatif untuk menambah pendapatan sekali gus membantu meringankan beban suami.

Katanya, kebab berkenaan disediakan bersama sebelum melakukan penghantaran dengan caj RM3 kepada pelanggan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor bermula 4 petang hingga 10 malam.



“Saya bisu dan ada masalah pendengaran sejak lahir manakala suami ketika berusia dua tahun. Persamaan itu yang menyebabkan kami serasi dan sepakat mendirikan rumah tangga pada 2015.

“Tempoh pandemik ini adalah waktu yang mencabar buat kami dan demi menyara tiga anak yang masih kecil, kami jalankan perniagaan menjual kebab.

“Alhamdulillah, perniagaan kecil-kecilan kami diterima baik oleh pelanggan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Nurul Hidayah berkata, tiada masalah untuk dia mahupun suami berurusan dengan pelanggan kerana pesanan dibuat menerusi Whatsapp.

“Kami sudah sediakan poster dalam bentuk digital yang memaparkan sekali pilihan kebab dan harganya.



“Jadi, mereka yang mahu membuat pesanan hanya perlu menyatakan jenis kebab dimahukan ,bilangan ,lokasi dan tarikh penghantaran.

“Mudah sekali lagipun kini semuanya di hujung jari ,” katanya.

Nurul Hidayah berkata, di samping mencari rezeki, niatnya menjalankan perniagaan untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik.

Katanya, bantuan itu diberi dengan bersedekah kepada yang memerlukan pada setiap Jumaat.



“Biarpun saya dan suami berstatus Orang Kurang Upaya (OKU), kami yakin ada lagi insan di luar sana yang lebih memerlukan.

“Oleh kerana itu, kami sepakat bersedekah setiap Jumaat dan kebiasaannya akan ke Chow Kit memberi makan kepada anak yatim serta orang susah di situ.

“Esok, kami merancang ke situ lagi dan berharap ada rezeki untuk terus membantu mereka yang kurang bernasih baik,” katanya.

Berkongsi hala tuju, Nurul Hidayah berkata, dia dan suami merancang mengembangkan perniagaan hingga dapat membuka kedai kebab sendiri.



“Selain itu, kami juga memasang impian membeli rumah sendiri dan berdoa terus diberi rezeki supaya dapat menghantar anak menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Hasrat lain saya adalah membantu suami menunaikan impian ibunya untuk menunaikan umrah di Tanah Suci.

“Saya dan suami mahu buktikan mampu mendapat apa dihajati dengan usaha sendiri walaupun ada kekurangan,” katanya.-HM

Gerai stimbot, kebab warga Bangladesh dan Indonesia diserbu



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker