Semakin ramai pemandu teksi, van sekolah tiada pendapatan
Kerajaan Persekutuan diminta memberi perhatian segera kepada pemandu-pemandu teksi serta pengusaha van dan bas sekolah yang kini semakin terdesak untuk mencari sesuap nasi untuk diri sendiri dan keluarga.
Sejak pandemik Covid-19 melanda negara, golongan ini telah hilang pendapatan dan keadaan bertambah buruk selepas sesi persekolahan ditutup sehingga akhir tahun.
Bagi mengelakkan keadaan jauh lebih buruk, kerajaan diminta segera mewujudkan insentif segera seperti bantuan kewangan khas dan pengecualian moratorium.
Bercakap dengan MalaysiaGazette, Setiausaha Pertubuhan Kebajikan Solidariti Perpaduan (PKSP), Prof. Madya Dr. Sara Chinnasamy berkata, kehidupan mereka sangat getir ketika ini, oleh itu sesuatu yang segera perlu dilakukan oleh kerajaan.
“Pada masa yang sama badan bukan kerajaan (NGO) diminta tampil untuk membantu pengusaha-pengusaha van, bas sekolah serta teksi ini.
”Mereka ini sangat memerlukan bantuan bagi meringankan bebanan yang ditanggung. Golongan ini amat memerlukan sokongan serta perhatian memandangkan sudah hilang punca pendapatan untuk jangka masa panjang,” katanya di sini.
Beliau berkata demikian selepas PKSP tampil memberikan bantuan sumbangan berbentuk barangan keperluan harian kepada pengusaha-pengusaha van sekolah dan juga teksi di Klang tadi.
Kata Dr Sara yang juga merupakan Penganalisis Politik dan Media Sosial Universiti Teknologi Mara (UiTM), sumbangan dihulurkan pihaknya diharap dapat membantu menampung keperluan, selain menjelang sambutan Deepavali dalam dua hari lagi.
“Pertubuhan kami mensasarkan golongan ini kerana ada dalam kalangan mereka tiada pendapatan langsung.
“Kita menjangkakan sekiranya sesi persekolahan tidak dibuka hingga akhir tahun, 80 peratus dari pengusaha bas sekolah akan menamatkan operasi mereka.
“Sesi persekolahan itu penting bagi pengusaha bas sekolah, itu punca pendapatan mereka yang tiada punca pendapatan lain,” ujarnya.
Dr. Sara turut menambah, ada juga dalam kalangan mereka ini berdepan dengan masalah bebanan pinjaman kenderaan, yang mana ansuran bulanan masih diteruskan kerana tiada moratorium.
Tambahnya, faedah lewat bayar juga dikenakan sekiranya pembayaran ansuran lewat walaupun dalam keadaan pandemik ini.
“Ini belum lagi kepayahan mereka untuk membayar gaji dan bil utiliti seperti bil telefon, internet, sewa pejabat, gaji asas pekerja dan pemandu akibat kehilangan sumber pendapatan,” katanya. MG
Tak dapat bantuan, pengusaha bas persiaran lapor polis terhadap 5 kementerian
You must be logged in to post a comment.