Sawa batik 80kg berlingkar berhampiran premis cuci kenderaan
DUNGUN – Sebuah premis mencuci kenderaan digemparkan dengan penemuan seekor ular sawa batik seberat lebih 80 kilogram di Kampung Jerangau Sungai, Bukit Besi dekat sini hari ini.
Reptilia yang sepanjang hampir enam meter tersebut dijumpai salah seorang pelanggan premis terbabit pada pukul 12.30 tengah hari.
Pengusaha premis, Che Wan Muhammad Afifi Che Wan Alias, 27, berkata, reptilia tersebut dijumpai di bawah rumah bapa saudaranya yang terletak bersebelahan pusat mencuci kenderaan tersebut.
“Salah seorang pelanggan yang mula-mula nampak ular itu sebelum memaklumkan kepada saya.
“Saya, pekerja dan pelanggan agak panik kerana ia terlalu hampir dengan premis kami sebelum memaklumkan penemuan ular sawa batik tersebut kepada pihak berkuasa,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Che Wan Muhammad Afifi berkata, lokasi ular sawa batik berkenaan ditemui iaitu di bawah rumah bapa saudaranya merupakan lokasi utama dia dan pekerja berehat selepas penat bekerja.
Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Dungun, Ahmad Kamal Hakim Ngah berkata, lima anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat berhubung penemuan reptilia berkenaan pada pukul 12.42 tengah hari.
Beliau berkata, pasukan APM mengambil masa hampir sejam untuk menewaskan ular sawa batik berkenaan.
“Reptilia yang berjaya ditangkap itu kemudiannya diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara untuk tindakan lanjut,” katanya. – K! ONLINE
Ular sawa ‘serah diri’ di balai bomba