Buaya 800 kg kecederaan parah dimatikan setelah diselamat bomba
Seekor buaya tembaga seberat 800 kg yang kecederaan akibat ditembak penduduk kampung diselamatkan pasukan bomba tetapi terpaksa dimatikan hari ini kerana luka parah yang dialaminya.
Sepasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Limbang menyelamatkan buaya itu yang tersepit di parit berhampiran Sekolah St Edmund, Limbang Selasa lalu.
Buaya berumur kira-kira 80 tahun dan 5 meter panjang itu dikatakan ditembak oleh penduduk kampung berhampiran. Pasukan bomba terpaksa menggunakan ‘forklift’ dalam operasi menyelamat itu.
“Proses pemindahan buaya tembaga oleh pasukan bomba dilakukan dengan menggunakan ‘forklift’ dan ia seterusnya dihantar ke tempat penyimpanan sementara Perbadanan Perhutanan Sarawak(SFC) di Kubong, menurut Facebook, Friends of Bomba Malaysia.
Pasukan bomba dengan bantuan tujuh anggota SFC mengambil masa hampir satu jam mengangkat buaya tembaga itu ke darat dengan menggunakan forklift.
Menurut kenyataan itu lagi, buaya diletakkan dalam kenderaan khas kemudiannya diserahkan kepada SFC untuk dihantar ke lokasi penyimpanan SFC di Kubong.
Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif SFC Zolkipli Mohamad mengesahkan hari ini bahawa pihaknya terpaksa mematikan buaya itu kerana kecederaan parah di kepala. FMT
You must be logged in to post a comment.