Sanggup bermotosikal rentas negeri demi anak

Alhamdulillah, perjalanan bermula sukar akhirnya dipermudahkan

Dalam usaha mendapatkan rawatan buat anak istimewa mereka yang mengalami barah mata, suami isteri sanggup menunggang motosikal dari Taman Meru, Ipoh, Perak dan meredah hujan lebat untuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL), semalam.

Bagaimanapun, Nur Natasya Rasid, 24, dan suaminya , Muhammad Iqmal Ramli, 24, serta anak mereka, Nur Mardhiah Shahadah, 3, bernasib baik apabila ada individu menumpangkan mereka ketika dalam perjalanan iaitu di Tanjung Malim, Perak.

Kisah tiga beranak itu tular di laman sosial selepas Nur Natasya memuat naik hantaran di Facebook (FB), hari ini.



Nur Natasya berkata, dia memuat baik hantaran itu untuk mengucapkan terima kasih kepada mereka yang membantunya dan suami di sepanjang perjalanan dan tidak menyangka ia tular.

“Kami datang ke Kuala Lumpur untuk membawa Nur Mardhiah menjalani pembedahan memasukkan steroid dan membuang lebihan daging pada mata kiri yang dibuang Februari tahun lalu serta alat kemoterapi (kemo pod) pada dada di HKL, Jumaat ini.

“Kami bertolak pada 3.30 petang semalam ketika cuaca masih elok, tetapi setibanya di Tapah, langit mendung sebelum hujan lebat menyebabkan kami terpaksa berhenti berteduh di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Ladang Bikam.

” Selepas lebih sejam berehat, kami teruskan perjalanan dan tidak jauh sebelum tiba di Tanjung Malim, sebuah kenderaan pacuan empat roda berhenti sebelum pemandunya mempelawa kami naik bersama,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.



Nur Natasya berkata, mulanya dia dan suami ragu-ragu untuk menerima pelawaan itu, tetapi akhirnya setuju menaiki kenderaan berkenaan.

Menurutnya, dia bersyukur kerana perjalanannya yang bermula sukar dipermudahkan, malah tidak berdepan halangan untuk melepasi sekatan jalan raya (SJR) di Plaza Tol Duta iaitu laluan masuk ke ibu kota.

“Alhamdulillah, anggota polis bertugas memberi kerjasama baik dan membenarkan kenderaan membawa kami melepasi SJR selepas menunjukkan dokumen perubatan anak.

“Mereka menghantar kami sehingga ke HKL dan ikutkan, kami bercadang tidur di stesen minyak saja memandangkan hanya membawa wang belanja RM250.



“Namun, rezeki kami apabila ada seorang hamba Allah membantu menempah dan membayar caj penginapan hotel untuk dua malam berhampiran HKL,” katanya.

Di sebalik ujian berlaku, Nur Natasya berterima kasih kepada mereka yang menyumbang tenaga, wang ringgit dan mendoakan keluarganya.

Pada masa sama, dia berharap pembedahan anak bongsunya itu berjalan dengan lancar.

“Memang gementar menanti pembedahan itu kerana risiko tetap ada. Lagipun, anak menghidap Cerebral Palsy (CP), kromosom 13q iaitu sejenis penyakit kelainan genetik selain mempunyai masalah pada hati, usus,paru-paru dan terbaru jangkitan kuman pada telinga kanan.



“Biarpun setahun lebih anak tidak menjalani rawatan kemoterapi, belum ada pengesahan menyatakan dia bebas barah.

“Namun, saya sentiasa berdoa supaya dia bertahan walaupun hayat pesakit sepertinya lazimnya sehingga usia lima tahun saja,” katanya. HM

Maut ketika dalam perjalanan pulang



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker