Kepimpinan Melalui Teladan, potong gaji 50%, ahli Parlimen diberitahu · MYKMU.NET

Kepimpinan Melalui Teladan, potong gaji 50%, ahli Parlimen diberitahu

Share
Presiden CAP Mohideen Abdul Kader berkata semua ahli Parlimen sepatutnya dipotong separuh gaji dan faedah istimewa mereka.

PETALING JAYA: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyeru ahli Parlimen dan eksekutif syarikat berkaitan kerajaan (GLC) memotong gaji untuk membantu memberi dana kepada langkah rangsangan supaya pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak perlu mengorbankan simpanan mereka.

Presidennya Mohideen Abdul Kader berkata, semua ahli Parlimen perlu dibayar separuh daripada gaji mereka dan memotong faedah istimewa, yang disifatkan persatuan itu sebagai “kepemimpinan melalui teladan”.

Beliau turut mencadangkan eksekutif tertinggi di GLC mengurangkan gaji mereka sebanyak 25%, dengan memetik kajian mendapati purata gaji eksekutif berkenaan sekitar RM5.5 juta setahun.

“CAP membantah idea pencarum mengeluarkan wang daripada akaun KWSP mereka kerana di bawah Seksyen 27 Akta KWSP 1991, pencarum dijamin kadar minimum 2.5% setahun daripada simpanan pencarum,” kata Mohideen dalam kenyataan hari ini.

Mohideen Abdul Kader.

“Kerajaan perlu menyediakan pakej rangsangan ekonomi dengan pelan memperluaskan bantuan kepada mereka yang kehilangan pekerjaan daripada meminta mereka menggunakan simpanan untuk merangsang ekonomi.”

Antara usul belanjawan dibentangkan Jumaat lalu, membenarkan pencarum KWSP yang diberhentikan kerja mengeluarkan sehingga RM500 sebulan selama 12 bulan dari Akaun 1 mereka.

“Kami sekali lagi mengulangi pendirian, pemegang akaun tidak seharusnya dibenarkan mengeluarkan simpanan mereka kerana mereka akan mengeluarkan dan membelanjakan simpanan yang dimaksudkan untuk persaraan,” katanya.

Beliau berkata, mereka juga akan kehilangan dividen dan simpanan akan berkurang apabila bersara.

Dalam pada itu, Mohideen turut mencadangkan peruntukan RM85.5 juta kepada Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia, digunakan untuk isu yang perlu disegerakan seperti sektor penjagaan kesihatan awam, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan penciptaan pekerjaan.

“Jika masalah ini tidak diutamakan dan diberi perhatian, tiada sebarang pembangunan infrastruktur digital oleh Jasa yang akan menyelamatkan negara,” katanya-FMT

Belanjawan 2021: Benarkan lebih ramai keluar caruman

Leave a Reply