Pawang-pawang air

Oleh Megat Syazlee Mokhtarom

Setiap kali keluar rumah, kami menahan lemas, bersiap siaga, pelitup muka dipakaikan, dan cecair pembasmi kuman sentiasa menjadi peneman. Usai urusan pulang ke rumah pula, bermandikan keringat masam dan berlengas.

Baru menarik nafas lega akibat gangguan air pada Oktober lepas, kini pada 10 Nov bekalan air terganggu lagi apabila dimaklumkan Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang SSP 1, 2, dan 3 dihenti tugas pada 12.20 tengah hari disebabkan oleh pencemaran bau dikesan di Sungai Selangor.

Amalan harian yang sudah pun sukar sekarang ini dibebankan pula dengan gangguan bekalan air di beberapa daerah di Selangor. Kerajaan bersilih ganti, namun negeri yang pesat membangun dengan kota raya maju bagai indah khabar daripada rupa.

Mengapa isu dangkal dan asas ini masih membelenggu bumi Darul Ehsan?

Kegelisahan penduduk dicitrakan dengan omokan “pawang-pawang satira” menawarkan “perubatan metafizikal” kepada Jabatan Air Selangor sebagai pengubat gangguan bekalan air. Masyarakat sudah muak menunggu penyelesaian rasional yang saban hari masih tidak tiba-tiba.

Pandangan sekalian masyarakat bahawa isu gangguan air bukan isu baharu. Malahan hanya 3 bulan lalu bekalan air di 686 kawasan terjejas akibat gangguan air disebabkan oleh pencemaran bau di Sungai Selangor. Sudah tentu sukar untuk diterima akal apabila gangguan kali ini juga disebabkan oleh pencemaran di sungai yang sama. Daya usaha kerajaan negeri seperti tumpul dan tidak berdaya untuk membanteras angkara keparat.

Namun adakah adil jika kegagalan ini digelung kerajaan negeri semata-mata? Sebelum penulis pun turut serta menaiki kereta kuda pawang-pawang, perlulah membuat keputusan sendiri. Tidak mahu menjadi seperti si luncai terjun dengan labu-labunya. Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan. Jangan marahkan nyamuk, kelambu dibakar.

Jadi bermulalah menelusuri bahasa-bahasa perundangan yang runyam dan rumit. Penulis bermula dengan Akta Industri Perkhidmatan Air. Penulis terpanggil dengan Seksyen 3(1) yang jelas tertera kuasa eksekutif bagi segala perkara berkaitan bekalan air di seluruh Semenanjung adalah bidang kuasa kerajaan persekutuan.

Manakala jika dirujuk Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS), Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) melalui Jabatan Alam Sekitar berperanan dalam melindungi sungai dan sumber air awam.

Jelas menteri juga harus dipertanggungjawabkan dalam kegagalan urus tadbir yang menjurus kepada gangguan bekalan air di negeri tersebut. Lebih-lebih lagi, ada bukti bahawa kementerian memandang enteng saranan badan-badan bukan kerajaan dalam usaha menambah keterampilan penguatkuasaan akta tersebut.

Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER), S Piarapakaran, menyatakan pada 7 Sept lalu pihaknya sudah mengemukakan cadangan pindaan segera terhadap AKAS dengan menambah seksyen baharu yang membolehkan tuntutan kerugian oleh pihak yang terjejas.

“Seksyen ini akan membolehkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) membuat pengiraan kehilangan pendapatan dan kos tambahan yang ditanggung pihak yang terbabit semasa kejadian pencemaran. Dengan cadangan pindaan itu, pesalah perlu membayar denda, kos pembersihan, dan tuntutan daripada pihak yang terjejas,” katanya.

Namun nasi sudah menjadi bubur, sikap acuh tidak acuh, rakyat jelata juga jadi mangsa.

Pada 3 Nov lalu, menteri alam sekitar menyatakan di Parlimen bahawa dalam tempoh 1 Jan 2020 hingga 30 Sept 2020, 61 premis dibawa ke mahkamah dan dikenakan tindakan kompaun atas kesalahan berkaitan pencemaran air serta pengurusan buangan terjadual. Jumlah keseluruhan denda sebanyak RM6.079 juta.

Beliau turut menghuraikan 4 pendekatan bagi penyelesaian jangka panjang gangguan bekalan air yang akan diambil oleh KASA. Pertama, menubuhkan Unit Cegah Jenayah Alam Sekitar (UCJAS) bagi mengawal selia dan penguatkuasaan, bercogan “Pencegahan dan Hukuman”.

Ke-2, Program Denai Sungai Kebangsaan sebagai platform menggabungjalinkan masyarakat massa dan kerajaan untuk bersama-sama melestarikan sumber air.

Ke-3, merangka untuk meningkatkan denda sehingga sebanyak RM10 juta dan penjara daripada 1 tahun hingga 15 tahun, atau kedua-duanya sekali.

Ke-4, mempertingkatkan simpanan bagi jaminan bekalan air melalui peningkatan kapasiti kesediaan air terawat melalui penaikan taraf loji sedia ada atau pun binaan LRA baharu.

Selain itu, pihak kementerian juga meletakkan sasaran untuk membanyakkan takungan air pinggiran sungai atau singkatannya TAPS bagi meningkatkan kapasiti takungan sumber air mentah.

Namun kementerian tidak bersedia untuk memperkenal hukuman penjara mandatori bagi pencemar sungai yang tegar, mahupun membenarkan pengguna menuntut ganti rugi daripada pesalah yang mencemarkan sumber air atau syarikat industri air.

Sejujurnya, pada hemat penulis, pendekatan yang diambil oleh kementerian adalah sedikit hambar dan tidak padan dengan permasalahan yang acap kali timbul ini. Ini dibuktikan dengan insiden pencemaran di Rantau Panjang yang berlaku lagi baru-baru ini.

Penulis percaya masyarakat sudah jemu dengan cogan yang hanya ralit disorak-sorak. Kementerian harus mempersudikan penyelesaian yang lebih drastik termasuklah mempertanggungjawabkan syarikat air dengan tugas fidusiari agar mereka juga akan memastikan bekalan air bagi rakyat.

Kementerian Alam sekitar harus lebih proaktif dan menyambut baik cadangan bernas dari badan bukan kerajaan dan bukannya bersikap reaktif. Sudah terhantuk baru tengadah. Lebih-lebih lagi kehandalan kementerian melindungi syarikat industri air yang tidak efektif. Tuntasnya, kerugian yang diakibatkan oleh pencemaran ini tidak adil untuk dipikul di bahu pengguna semata.

Mungkin sudah tiba masanya rakyat jelata tidak lagi menunggu penyelesaian daripada cabang eksekutif yang sibuk berpolemik dan berantakan, mahupun memasang harapan pada penggubal perundangan yang tercungap-cungap dan selektif dalam membuat pindaan.

Berganjaklah ke cabang kehakiman dan memburu keadilan di situ. FMT

Dah Masuk Zaman Kereta Terbang Tapi Pencemaran Air Di Selangor Berlarutan

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker