Gangguan air berpunca dari rasa kurang senang pihak tertentu, kata Amirudin

Shah Alam: Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari menyifatkan insiden pencemaran bau yang berlaku di Sungai Selangor hari ini mungkin berpunca dari rasa kurang senang pihak tertentu.

Amirudin berkata, ia berikutan tindakan tegas serta kesungguhan kerajaan Selangor untuk memastikan kejadian pencemaran sumber air di negeri itu tidak terus berulang.

“Saya menganggap ini adalah satu cabaran kepada kerajaan negeri atas usaha kita menyelesaikan isu air apatah lagi insiden berkenaan (pembuangan bahan seakan pelarut ke lurang kumbahan Indah Water Konsortium) sudah lama tidak berlaku.

“Insiden yang sama berlaku pada tahun lalu. Saya dimaklumkan pencemaran kini di tahap dua ton dan harapannya agar malam ini Loji Rawatan Air (LRA) akan dapat beroperasi seterusnya gangguan bekalan air tidak berlaku dalam tempoh yang panjang,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Sidang Dewang Undangan Negeri (DUN) Selangor, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pelaku disyaki sudah mengenal pasti trend pemantauan yang dilakukan pihaknya kerana pembuangan bahan seakan pelarut itu dipercayai dilakukan di luar waktu kawalan penguat kuasa.

Dalam pada itu, beliau berkata, Rang Undang-Undang (RUU) Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) (Pindaan) 2020 diluluskan semalam juga masih belum boleh digunakan.

Katanya, penasihat undang-undang perlu menghantar notis kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan RUU berkenaan boleh disahkan selepas baginda menandatanganinya atau sebulan daripada tempoh kelulusan DUN.

“Justeru, kita masih belum boleh menggunapakai undang-undang itu. Bagaimanapun sudah saya sebutkan, kita ada beberapa lagi undang-undang iaitu Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 serta Seksyen 121 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006.

“Berkenaan rancangan kerajaan negeri (penggunaan teknologi), ia akan mengambil masa 15 ke 18 bulan seperti yang diumumkan dalam belanjawan,” katanya.

Terdahulu, empat LRA iaitu LRA Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas selepas pencemaran bau seakan-akan pelarut yang dikesan di Sungai Selangor pada jam 12.20 tengah hari tadi. HM

Kecuaian Exco Alam Sekitar punca Selangor tiada air?

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker