Menteri terkejut peruntukan Jasa dan dakwa tidak tahu menahu mengenainya · MYKMU.NET

Menteri terkejut peruntukan Jasa dan dakwa tidak tahu menahu mengenainya

Share

Peruntukan sebanyak RM85.5 juta untuk Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) seperti diumumkan kerajaan pada 6 Nov lalu didakwa mengejutkan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Saifuddin Abdullah.

Memetik sumber yang tidak dinamakan, portal The Malaysian Insight mendakwa walaupun tahu agensi berkenaan – yang dikenali gigih menyebarkan propaganda kerajaan BN sebelum ini – akan dihidupkan, Saifuddin dikatakan tidak tahu jumlah yang disediakan.

“Beliau terkejut apabila nampak jumlah itu. Beliau tidak pernah minta sebanyak itu diperuntukkan untuk Jasa,” kata sumber berkenaan.

Ekoran itu, portal terbabit melaporkan, Saifuddin mengarahkan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Mohammad Mentek untuk menyiasat.

Untuk rekod Saifuddin merupakan ahli parlimen Indera Mahkota yang memenangi kerusi berkenaan atas tiket Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum (PRU) lalu.

Dia kemudian menyertai sekumpulan ahli parlimen PKR untuk berpaling tadah dengan meninggalkan parti berkenaan dan menyertai Bersatu selepas PH ditumbangkan.

Sementara itu dalam laporan sama, timbalan Saifuddin, Zahidi Zainul Abidin, mengakui dia adalah orang yang bertanggungjawab mencadangkan Jasa dihidupkan semula selepas ia dibubarkan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

Kata ahli Majlis Tertinggi Umno itu, dia memaklumkan cadangan tersebut kepada Saifuddin namun tidak menolak kemungkinan menteri terbabit terlupa kerana terlalu sibuk.

“Ya, saya yang cadang hidupkan Jasa, tapi beliau (Saifuddin) tahu… mungkin sebab beliau menteri jadi banyaklah tugasnya.

“Menteri inikan terlalu aktif, terkenal jadi dia sibuk sampai terlupa benda yang dah disampaikan kepada beliau,” katanya.

Mengenai peruntukan besar dalam Belanjawan 2021 yang mengejutkan ramai orang serta dikritik pembangkang itu, Zahidi berkata, ia adalah persetujuan selepas diadakan perbincangan bersama.

Menurut Zahidi antara pihak yang memberikan pandangan berkaitan hal itu ialah pegawai yang menubuhkan Jasa sebelum ini.

Kata ahli parlimen Padang Besar itu lagi, peruntukan RM85.5 turut melibatkan kos membela nasib lebih 1,000 kakitangan Jasa yang diberhentikan PH sebelum ini dengan mengambil mereka bekerja dengan kerajaan semula.

Disebabkan mahu menubuhkan agensi baru, katanya, pelbagai aset baru juga diperlukan.

Pada masa sama Zahidi menyatakan penghargaannya kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin kerana “membela nasib orang Melayu” dalam Jasa.

“Kalau kata Muhyiddin tak setuju tak boleh juga, sebab takkanlah beliau tidak kesian dan tidak membela nasib pekerja Jasa,” katanya. Mk

Jasa akan kembali beroperasi – Zahidi

Leave a Reply