Jasa akan kembali beroperasi – Zahidi

Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) yang sebelum ini dibubarkan sewaktu pentadbiran Pakatan Harapan pada 2018 akan kembali beroperasi dalam tempoh terdekat dengan kakitangan seramai 500 orang, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Zahidi Zainul Abidin.

Zahidi berkata, keputusan menghidupkan semula Jasa bertujuan membantu bekas kakitangan badan kerajaan itu, yang sebelum ini terjejas selepas perkhidmatan mereka ditamatkan oleh pentadbiran terdahulu.

“Kita sudah lantik timbalan ketua pengarah, selain membuka permohonan dan melakukan proses temu duga bagi mengambil mereka bekerja semula.

“Ada juga usaha supaya bekas kakitangan Biro Tata Negara dan Seranta Felda boleh sama memohon,” katanya seperti dilaporkan oleh Berita Harian.

Pada Mei 2018, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad mengumumkan pembubaran Jasa serta Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Mahathir ketika itu berkata, keputusan membubarkan 2 agensi kerajaan itu dibuat kerana Jasa sebelum ini dilihat menyokong kerajaan terdahulu dan SPAD pula mempunyai pertindihan tugas.

Jelas Zahidi, kementeriannya juga akan mengusulkan kepada kerajaan persekutuan permohonan tambahan bajet bagi membolehkan lebih ramai bekas kakitangan jabatan berkenaan diserap semula.

“Dulu Jasa ada lebih 1,000 kakitangan dan untuk penubuhan semula hanya dibenarkan mengambil 500 kakitangan, jadi separuh daripadanya tidak dapat ditawarkan kerja.

“Ramai mahu kerja semula dan ternyata langkah kerajaan PH membuang kakitangan Jasa yang terdahulu adalah silap dan menganiaya pelbagai pihak,” katanya.
FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker