Kak ‘Ninja’ hantar barang
Kuala Lumpur: Imej sebagai wanita berniqab tidak menghalang ibu tujuh anak dikenali Nur untuk mencari rezeki sebagai penghantar makanan dan pembeli barangan keperluan.
Nur, 36, atau disapa Ninja dalam kalangan rakannya berkata, dia seronok melakukan pekerjaan itu biarpun secara sambilan.
Bercerita lanjut, Nur yang menetap di Klang, Selangor berkata, dia baru menjadi penghantar makanan dan barangan keperluan sejak seminggu lalu.
Katanya, niatnya untuk meringankan beban suami dikenali Azrul, 40, dan memudahkan penduduk berhampiran membeli makanan atau barangan keperluan tanpa perlu keluar dari rumah terutama dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
“Sejak berumah tangga kira-kira 16 tahun lalu, saya tidak bekerja dan hanya menjadi suri rumah sepenuh masa.
“Namun, keinginan membantu suami mengukuhkan kewangan dalam tempoh pandemik yang mencabar ini mendorong saya mencari rezeki sebagai penghantar.
“Lagipun, saya lihat ada permintaan, jadi apa salahnya mencuba. Alhamdulillah, suami izinkan walaupun mulanya dia khuatir kerana memikirkan saya yang akan bergerak ke sana sini menaiki skuter,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Bercerita lanjut, Nur berkata, dia mengambil pesanan seawal jam 9 pagi dan yang terakhir sebelum 10 malam.
Memandangkan hanya menaiki skuter, Nur sekadar mengambil pesanan daripada penduduk berhampiran rumahnya dengan mengenakan upah antara RM3 hingga RM5 saja bagi setiap penghantaran.
“Saya tidak terikat dengan mana-mana syarikat sebaliknya menjadi penghantar bebas jadi waktu kerja agak fleksibel.
“Suami bekerja syif, jadi jika ada di rumah pada siang hari, dia akan membantu saya menjaga anak yang berumur antara empat hingga 15 tahun.
“Buat masa ini, saya hanya mengambil pesanan dan menghantar makanan di sekitar Klang saja iaitu di Jalan Sungai Pinang, Kampung Batu Belah, Jalan Tarmizi, Jalan Musran dan Taman Hijrah,” katanya.
Nur berkata, dia tidak berdepan masalah ketika berada di jalan raya kerana mendapat kerjasama baik daripada pemandu lain.
“Sejak hari pertama lagi, saya tidak berdepan masalah malah rata-rata pemandu jalan raya ditemui memberi reaksi positif dengan membunyikan hon dan mengangkat tangan sebagai tanda sokongan.
“Saya juga tidak berdepan halangan ketika melalui sekatan jalan raya (SJR) sebaliknya anggota polis bertugas sekadar mengingatkan untuk berhati-hati.
“Lagipun saya sudah dilatih oleh pakar mengenai cara mengendalikan skuter selepas memenanginya hasil penyertaan dalam sebuah peraduan di laman sosial, jadi ia membantu saya ketika di jalan raya,” katanya yang aktif menyertai program larian jarak dekat dan jauh bersama suaminya.
Nur berkata, selagi ada permintaan, dia akan terus melakukan pekerjaan itu kerana menganggapnya peluang membantu mempermudahkan urusan individu lain terutama yang memerlukan.
“Saya tidak katakan pekerjaan ini mudah tetapi tugas membeli barangan dapur untuk pelanggan misalnya bukan sukar kerana sudah biasa.
“Laluan untuk penghantaran pula adalah jalan sering digunakan untuk melakukan latihan larian dan aktiviti berjalan kaki di situ jadi ia menjadikan saya terbiasa dengannya.
“Cuma aspek keselamatan tetap menjadi keutamaan, jadi sebelum menaiki skuter dan keluar dari rumah, saya pastikan memakai topi keledar terlebih dulu,” katanya.-HM