Pasangan suami isteri dijaga keluarga India

SEREMBAN – Niatnya hanya untuk menjual peti ais bagi mendapatkan wang, namun tidak menyangka hasrat itu mengubah nasib pasangan suami isteri yang kehilangan sumber pendapatan akibat dibuang kerja.

Mohamad Fakhrulzaman Abdul Malik, 57, dan Rohayati Salleh, 46, yang bekerja sebagai tukang masak hilang sumber pendapatan apabila kedai tempatnya bekerja menutup operasi sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan pada Mac lalu.

Berikutan itu, dia bertindak menjual menjual peti ais dan jam ta­ngan untuk menyara kehidupan serta membayar bilik sewa namun tidak menyangka ia dibeli pemilik kedai perabot terpakai, L. Linda Kasturi.

“Bagaimanapun, kehidupan kami berubah apabila Linda yang melihat keadaan kami telah membawa saya dan isteri ke rumahnya untuk menjaga kami. Sejak awal PKP, saya diserang strok dan tidak mampu melakukan apa-apa pekerjaan sehingga kini.

“Saya tinggal bersama keluarga Linda Kasturi sejak enam bulan lalu dan dijaga dengan baik. Mereka yang memberikan saya tempat tinggal dan makanan yang halal sepanjang enam bulan ini, malah mereka memanggil saya ‘ayah’ dan isteri saya, ‘ibu’,” katanya ketika ditemui di Taman Sungai ­Ujong, dekat sini semalam.

Menurut Mohamad Fakhrulzaman, dia dan isteri amat terhutang budi dengan keluarga Linda Kasturi yang telah menjaga mereka berdua dengan amat baik.

“Mereka melayan saya se­perti keluarga sendiri termasuk menyediakan ruang solat serta menghantar saya ke masjid pada hari Jumaat,” ujarnya.

Jelasnya, dia mempunyai lima orang anak berusia antara 7 hingga 24 tahun dan ada sedang me­lanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan seorang lagi di sebuah madrasah di Indonesia.

Sementara itu, Linda Kasturi memaklumkan, walaupun berbeza agama dengan pasangan suami isteri itu, ia bukanlah penghalang untuknya memberikan bantuan kerana telah menganggap Mohamad Fakhrulzaman dan isteri seperti ibu bapa sendiri.

“Saya berharap ada pihak yang datang beri bantuan kepada mereka. Saya juga berniat untuk membina sebuah rumah di se­belah rumah ini kerana anak-anak saya sudah rapat dengan mereka,” ujarnya.-K’Online

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker