Ayah hubungi ibu 9 kali namun…
Subang Jaya: “Sebelum kejadian, ayah ada menghubungi ibu sebanyak sembilan kali, namun panggilannya tidak dijawab kerana ibu tidak perasan,” kata Farid Ridhuwan, 15, anak sulung kepada Mohd Irfan Fikri Mohamed Rawi, 41, mangsa nahas helikopter terhempas di Jalan Melawati, Ampang, semalam.
Farid berkata, selepas ibunya, Wan Nani Fazlin Wan Mahmud, 44, melihat panggilan telefon itu, dia cuba menghubungi Mohd Irfan, namun gagal.
“Sebelum kejadian antara jam 10 hingga 11 pagi semalam, ayah ada menghubungi ibu melalui panggilan telefon, namun tidak diangkat kerana ibu tidak perasan.
“Apabila ibu cuba menghubunginya semula, ayah tidak dapat dihubungi sebelum ibu melihat berita di Facebook mengenai helikopter terhempas,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam USJ 22, di sini, hari ini.
Menurut Farid, kali terakhir dia bertemu ayahnya adalah pada malam sebelum kejadian.
“Ayah keluar rumah kira-kira jam 8 pagi. Sebaik saya bangun tidur semalam, ayah sudah tiada di rumah.
“Jika diikutkan perancangan asal, kami sekeluarganya sepatutnya pergi memancing petang, semalam. Namun, ini pula yang terjadi.
“Memang agak sukar untuk kami sekeluarga menerima pemergian ayah kerana dia sentiasa ada di sisi kami.
“Bagi saya, dia seorang ayah kuat berusaha dan tidak pernah menunjukkan kesusahan dialaminya dalam membesarkan kami. Apa yang sering dilihat pada wajahnya hanyalah senyuman,” katanya.
Terdahulu, jenazah Mohd Irfan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 22, di sini, jam 5 petang.
Allahyarham Mohd Irfan dibawa dari Surau Al-Ikhwan PUJ 2 Tamab Puncak Jalil di pekarangan tanah perkuburan jam 4.15 petang.
Kira-kira 50 ahli keluarga dan kenalan hadir menziarahi jenazah. Suasana pilu menyelubungi kawasan perkuburan ketika jenazah diturunkan ke liang lahad.
Semalam Harian Metro melaporkan, jurulatih penerbangan, Mohd Sabri Baharom, 45, dan Mohd Irfan disahkan meninggal dunia selepas helikopter dinaiki mereka terhempas di Jalan Melawati, Ampang jam 11.30 pagi.
Helikopter jenis G2CA itu dipercayai dalam penerbangan latihan dari Subang menuju ke Genting Sempah.
Punca kemalangan membabitkan dua helikopter akan dijalankan Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) Kementerian Pengangkutan. HM
You must be logged in to post a comment.