Anugerah Bintang Popular BH: Trofi Pemenang? Ambil sendiri
KUALA LUMPUR: Akur dengan garis panduan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan, BH dan TV3 melalui syarikat produksi, Primeworks Studios (PWS) akan memastikan semua aspek dalam penganjuran malam kemuncak Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-33, Jumaat ini, mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang COVID-19.
Sehubungan itu, beberapa pendekatan baharu diperkenalkan dalam pengisian acara berpandukan syor MKN termasuk mengehadkan jumlah penyampai anugerah dan lebih penting, tiada elemen sentuhan seperti bersalaman dan memegang trofi antara pemenang dan pemberi anugerah di pentas.
Sesuai dengan penerapan norma baharu, trofi akan diletakkan di atas meja khas umpama rostrum di mana pemenang akan mengambil sendiri piala berkenaan apabila naik ke pentas, sebelum memberi ucapan.
Mengaku penganjuran edisi ke-33 acara anugerah berprestij ini membawa cabaran besar, Penerbit Eksekutif ABPBH 33, Nurhul Huda Khalid berkata, penganjur mesti akur dengan permintaan MKN dan Kementerian Kesihatan demi memastikan keselamatan semua pihak.
“Kami tidak menafikan sangat mencabar untuk merealisasikan program anugerah ini tanpa penonton seperti yang diumumkan sebelum ini.
“Perkara ini lebih dirasakan bagi artis yang membuat persembahan di mana selalunya mereka akan mendapat aura kemeriahan daripada penonton.
“Bagaimanapun, kami mencuba sedaya upaya untuk membuatkan penonton di rumah merasakan kehangatan ABPBH 33 sama seperti kami yang berada di Axiata Arena,” katanya kepada BH Online.
ABPBH 33 yang dibawakan syarikat elektronik multinasional China, Xiaomi sebagai penaja utama, akan disiarkan secara langsung dari Axiata Arena, Bukit Jalil, Jumaat ini, mulai jam 9 malam.
Buat kali pertama dalam sejarah, siaran langsung ABPBH 33 tidak dihadiri penonton di lokasi acara bagi mengelak perhimpunan beramai-ramai termasuk kelab peminat.
Nurhul Huda berkata, produksi mahu memastikan penonton di rumah terhibur biarpun acara kali ini tidak dihadiri jemputan di Axiata Arena.
“Untuk tujuan itu, kami akan cuba menjemput penonton secara virtual, iaitu audiens diundang melalui aplikasi Zoom untuk menaikkan suasana di stadium kelak,” katanya.
Laporan Khas: Penempatan haram Bukit Malut membesar [Video]
Menyifatkan langkah itu sebagai amalan norma baharu dalam penganjuran acara anugerah dan program hiburan, tambah Nurhul Huda, hanya petugas belakang tabir, kru, artis diundang membuat persembahan, penyampai trofi dan pemenang akan menghadiri ABPBH 33.
“Kalau mahu diikutkan, Axiata Arena boleh memuatkan 7,000 hingga 8,000 penonton. Namun, disebabkan pandemik COVID-19, hanya mereka yang terbabit dibenarkan masuk.
“Pemilihan Axiata Arena dapat memastikan kami mengamalkan penjarakan sosial yang lebih efisien kerana premis yang luas.
“Mahu mendapatkan kebenaran MKN bukannya mudah. Jadi, kami perlu betul-betul mengikut SOP ditetapkan.
“Kami berharap mereka yang hadir memainkan peranan masing-masing dengan sentiasa memakai pelitup muka dan memastikan penjarakan,” katanya.
Nurhul Huda berkata, ABPBH 33 yang akan dikendalikan Datuk AC Mizal dan Nabila Huda serta hos segmen karpet merah, Sissy Imann dan Sean Lee, mengurangkan jumlah penyampai trofi.
“Kami hadkan kepada seorang penyampai sahaja mengikut slot. Kalau dahulu, kita boleh lihat dua hingga tiga orang menyampaikan trofi, kali ini, hanya seorang.
“Trofi akan diletakkan di tengah pentas bagi mengelak berlakunya sentuhan antara penyampai dan pemenang,” katanya.
Mengulas mengenai persembahan pula, Nurhul Huda berkata selain 14 pemuzik dan dua penyanyi latar, penganjur mengehadkan penari berikutan amalan penjarakan fizikal.
“Bagi persembahan yang ada penari, kami hadkan kepada antara enam hingga lapan orang sahaja.
“Seperkara lagi, penari perlu memakai pelitup muka sepanjang masa termasuk ketika membuat persembahan,” katanya.
Membuka segmen persembahan, sketsa komedi dijayakan Khir Rahman, Liza Abdullah, Nora Danish, Joey Daud, Man dan Kaka Azraff bakal menentukan tempo acara pada malam itu.
Artis lain yang membuat persembahan adalah Faizal Tahir, Elly Mazlein, Syamel, Zizi Kirana dan Dolla; Ernie Zakri dan Hafiz Suip; Azlan Typewriter, Yonnyboii dan Zynakal serta Naim Daniel, Ismail Izzani dan Man Keedal.
Tidak hanya itu, ABPBH 33 turut dimeriahkan dengan persembahan Aina Abdul, Indah Ruhaila, Tomok dan Lan Solo serta pasangan adik-beradik, Liza dan Azlina Aziz bersama Noki K-Clique.
Yonnyboii bersama pasangan duet, Shalma Eliana akan mempersembahkan lagu tema Xiaomi Malaysia iaitu Xiaomi For Me! pada malam itu.
You must be logged in to post a comment.