Jika Muhyddin berkeras pelawa PH ke dalam kerajaan semula, elok letak jawatan

Share

Langkah membawa pemimpin Pakatan Harapan (PH) ke dalam mesyuarat-mesyuarat kerajaan untuk membuat keputusan dan dasar adalah syor ke belakang dan tidak memberi perubahan kepada ekonomi negara.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii berkata, ini terbukti semasa pentadbiran PH selama 22 bulan lalu apabila ekonomi tidak bergerak dan banyak projek pembangunan ketika era pentadbiran Barisan Nasional (BN) tidak diteruskan malah dibatalkan.

“Negara luar tak yakin dengan Malaysia kerana tender-tender besar dibatalkan oleh Kerajaan PH. Jemaah Menteri PH ketika itu mentadbir negara dengan perasaan membalas dendam.

“Perdana Menteri sepatutnya sedar bahawa semasa beliau dan rakan-rakan lain di PH, banyak perkara berkaitan ekonomi dan rakyat tidak diutamakan, malah PH terus membawa cadangan yang tidak boleh digunakan untuk memajukan negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, semasa Agenda Awani Khas Bersama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhasrat mengundang pembangkang untuk duduk bersama-sama dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) yang dipengerusikan beliau setiap minggu.

Menurut Muhyiddin, pelawaan itu adalah dalam usaha kerajaan memperluas kerjasama bipartisan.

Sebagai Perdana Menteri, Muhyiddin berkata, beliau mahu mendengar pandangan dan buah fikiran pembangkang dalam apa sahaja isu yang mencakupi perihal rakyat.

Mohd Razlan mengingatkan Muhyiddin tentang banyak formula PH sebelum ini bukan sahaja gagal bahkan membelakangkan rakyat hingga membawa kemusnahan kepada struktur ekonomi negara.

“Ingat lagi cadangan PH seperti Kripto Coin oleh Khalid Samad, E-wallet RM30 oleh Lim Guan Eng, Tanam Buluh dan Sesudu Minyak Kelapa Sawit oleh Teresa Kok, MySalam RM400 juta kerajaan bayar, guna hanya 13 juta dan kereta terbang oleh Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.

“Saya bukan mahu jadi penentang kepada Kerajaan Perikatan Nasional (PN), namun apa yang cuba dicadangkan oleh Perdana Menteri adalah satu malapetaka kepada negara dan lebih menjurus kepada permainan politik daripada perbincangan,” katanya.

Muhyiddin diingatkan mengurangkan jurang permainan politik dan fokus kepada kerja untuk menyelesaikan permasalahan ekonomi dan Covid-19.

“Maaf cakap, yang ada sekarang di dalam kerajaan pun sudah berselirat dan punyai banyak pandangan, jadi, sudah-sudahlah kerajaan Tan Sri Muhyddin ini bermain politik, silalah fokus kepada masalah negara,” katanya.

Sekiranya Muhyiddin terus berkeras mahu melibatkan pembangkang dalam membuat keputusan dan dasar negara, beliau sewajarnya meletakkan jawatan.

“Sudah cukuplah 22 bulan kita merasai kehidupan yang perit, rakyat dibuang kerja, pelabur asing bawa dana keluar dari Malaysia, petani dan nelayan ditindas!

“Sekiranya Tan Sri Muhyddin berkeras mahu membawa PH ke dalam Kerajaan semula, seeloknya dipulangkan semula jawatan Perdana Menteri itu kepada Yang Dipertuan Agong,” katanya lagi. MG

Pembangkang akan dipelawa bersama kerajaan dalam buat keputusan – Muhyiddin

Leave a Reply