Sanggup bunuh rakan kerana cinta
Kuala Lumpur: Tukang masak warga Myanmar maut ditikam rakan senegara di Jalan Tempinis 1, Bangsar, di sini, semalam, selepas dipercayai tidak berpuas hati apabila mereka menjalinkan hubungan cinta dengan wanita sama.
Dalam kejadian 9.40 malam itu, berlaku pergaduhan antara mangsa berusia 40-an dengan beberapa lelaki termasuk suspek utama warga Myanmar kemudian disedari seorang lelaki yang melihat mangsa berlumuran darah sebelum menghubungi ambulans.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, saksi kejadian itu kemudian memaklumkan kepada polis dan hasil pemeriksaan kamera litar tertutup (CCTV) mendapati terdapat pergaduhan membabitkan beberapa lelaki.
Menurutnya, turut ditemui hulu dan bilau pisau sepanjang 15 sentimeter (sm) yang digunakan suspek untuk menikam mangsa.
“Ketika kejadian mangsa hampir tidak sedarkan diri namun sempat diberikan rawatan awal oleh pihak ambulans dan terus dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) tetapi gagal diselamatkan.
“Susulan itu, polis menahan teman wanita warga Myanmar, seorang lelaki warga Bangladesh dan dua lelaki warga Myanmar sementara suspek utama sedang diburu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Nik Ros Azhan berkata, siasatan mendapati mangsa mengenali teman wanitanya awal tahun ini dan bekerja di tempat sama di sebuah restoran di Bangsar sebelum menjalinkan hubungan cinta.
“Bagaimanapun pada Mei lalu, wanita terbabit menjalinkan hubungan sulit dengan suspek utama dan tinggal bersama lelaki di kediamannya di Jalan Tempinis sejak Oktober lalu.
“Sebelum kejadian suspek utama bersama wanita terbabit dan tiga lagi suspek minum arak di sebuah kedai pada sebelah paginya sebelum mereka bertemu pula di taman permainan kanak-kanak di Jalan Tempinis 5 pada sebelah malam dan suspek utama memberitahu dia tidak berpuas hati dengan mangsa,” katanya.
Beliau berkata, wanita terbabit kemudian membawa mangsa bertemu dengan suspek sebelum dia diserang dan ditikam.
“Mereka kemudian melarikan diri sebelum ditahan polis di sekitar Bangsar beberapa jam kemudian sementara suspek utama dikenali Khun Soe Aung sedang diburu.
“Semua empat suspek yang sudah ditahan direman enam hari dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung suspek utama boleh menghubungi balai polis berhampiran,” katanya. HM
You must be logged in to post a comment.