Ayat cinta kebas RM6,000

Kuala Lumpur: Ketika isu Macau Scam heboh diperkatakan di negara ini, satu lagi sindiket penipuan, Love Scam kembali mendapat perhatian apabila menjadikan golongan profesional dan pesara sebagai sasaran.

Menyamar sebagai orang kenamaan, mereka yang dipercayai berpangkalan di negara ini menggunakan ayat cinta untuk memperdaya wanita termasuk warga emas dengan menjalinkan hubungan maya sebelum meminta wang atau harta benda.

Dalam kes terbaharu, seorang penjawat awam wanita menjadi mangsa selepas dihubungi lelaki menggunakan profil ahli kenamaan menerusi aplikasi WhatsApp.



Mahu dikenali sebagai Mira, 50-an, ibu tunggal anak lima itu berkata, dia menerima kiriman WhatsApp dua bulan lalu daripada seorang lelaki yang kononnya bernama Mohd Hafiz Adam.

Katanya, dalam minggu pertama, dia tidak melayani lelaki itu kerana bimbang sesuatu yang tidak elok berlaku, namun lama-kelamaan, mereka mula berhubung setiap hari.

“Saya diberitahu lelaki itu dia ahli perniagaan di luar negara dan sudah lama berada di Malaysia.

“Kami sentiasa berhubung dan saya tidak sedar dilamun cinta Internet dan percaya dia ikhlas mahu berkawan,” katanya ketika membuat aduan kepada Presiden Persatuan Pengguna Melayu Malaysia (PPMM), Che Hassan Che Johan.



Menurutnya, selepas berkongsi pelbagai kisah hidup termasuk dirinya yang memiliki beberapa rumah sewa dan perniagaan kecil, lelaki itu mula meminta wang kononnya untuk membiayai kos pembedahan di sebuah hospital di India.

“Saya percaya kata-katanya dan memasukkan 52,000 rupee (kira-kira RM3,000) dan dia menunjukkan gambarnya yang berada di hospital.

“Tidak lama kemudian, dia meminta saya memasukkan wang ke dalam akaun bank tempatan kononnya lebih mudah dikeluarkan. Saya pun memberikan lagi RM3,000 kepadanya,” katanya.

Mira berkata, tidak lama kemudian, hubungan dengan lelaki itu menjadi semakin renggang dan mereka tidak lagi bermesej seperti sebelum ini.



Sementara itu, Che Hassan berkata, siasatan PPMM mendapati lelaki itu menggunakan profil ahli kenamaan untuk menjerat Mira demi keuntungan sendiri.

Katanya, pihaknya cuba menghubungi individu itu dan dia memberi maklum balas sebelum menyekat talian.

“Kami buat semakan dan mendapati lelaki itu berasal dari Tamil Nadu, India berdasarkan e-mel digunakan.

“Nombor telefon didaftarkan di India, namun dia dipercayai ada di negara ini berdasarkan butiran akaun yang digunakan untuk mengeluarkan duit.



“PPMM merujuk kes ini kepada polis serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia untuk tindakan lanjut,” katanya.-HM

Wanita 68 tahun rugi RM257,172 ditipu ‘love scam’



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker