Kalau dapat RM50 bilion pun orang akan komplen juga, kata Bung

Timbalan Ketua Menteri Sabah Bung Moktar Radin membidas bantahan pembangkang berhubung pengurangan peruntukan pembangunan kepada negeri itu dalam Belanjawan 2021 yang dibentangkan semalam.

Bung yang juga menteri pembangunan infrastruktur Sabah mengingatkan, terdapat peruntukan lain yang boleh digunakan negeri itu selain RM5.1 bilion yang diperuntukkan untuk pembangunan di Sabah dalam Belanjawan 2021.

“Tak mengapalah RM5 bilion, kalau negeri diperuntukkan RM50 bilion sekali pun, mereka akan kata tak cukup juga kalau hati tak baik,” katanya kepada FMT.

“Jumlah RM5.1 bilion adalah peruntukan khusus untuk Sabah tetapi, pada masa sama, ada dana lain untuk pembangunan luar bandar yang dapat dimanfaatkan oleh negeri ini.”



Walaupun ahli Parlimen Kinabatangan itu mengakui jumlahnya mungkin tidak menepati harapan beberapa pihak, ini adalah kenyataan dalam persekitaran kewangan yang mencabar dalam negara dan di seluruh dunia.

“Kita harus terima, yang penting rakyat akan mendapat faedah daripada belanjawan ini,” katanya.

Semalam, pemimpin pembangkang Sabah, termasuk ahli Parlimen Penampang dari Warisan Darell Leiking, membidas kerajaan persekutuan kerana mengurangkan peruntukan pembangunan untuk negeri itu.

Timbalan presiden Warisan itu berkata, kerajaan PH memberikan RM5.2 bilion dalam belanjawan tahun lalu, sambil menambah peruntukan berikutnya seharusnya lebih besar.



Mengenai dakwaan lain oleh pembangkang, tidak ada projek mega di Sabah selain kesinambungan projek Lebuhraya Pan Borneo, Bung berkata kerajaan berdepan cabaran dalam menyalurkan projek berskala besar ke negeri itu buat masa ini.

Pengerusi Umno Sabah itu berkata, dia mempunyai rancangan sendiri untuk membawa pelabur. “Sebagai pemimpin, kita harus mengambil inisiatif sendiri untuk membawa pelaburan kerana ini penting untuk merangsang ekonomi di Sabah.

“Jadi, belanjawan ini layak mendapat sokongan kerana rakyat menunggu dan berharap supaya kerajaan melakukan yang terbaik untuk Sabah,” katanya. FMT

Sektor pelancongan boleh rugi RM50 bilion akibat Covid-19, kata penyelidik



Related Articles

One Comment

  1. Apa yang dinyatakan oleh Bung Mokhtar menunjukkan disebalik sikapnya yang suka menyergah dia adalah seorang pemimpin yang sangat berpengetahuan luas dan praktis, tidak seperti kebanyakan pemimpin politik lain di Sabah yang cuma pandai buat bising. Dakwaan Pemimpin Warisan PH menyediakan 5.2 bilion untuk Sabah hanyalah retorik, dan jika benar di manakah wang tersbut dibelanjakan oleh kerajaan Shafie dulu hinggakan keadaan Sabah begitu teruk dan penduduknya menderita selama PH memerintah? Semoga di bawah PN, Sabah dapat bangun menjadi negeri yang maju.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker