Kampung penduduk Palestin di Tebing Barat dimusnah rejim Zionis

Share

SERAMAI 73 rakyat Palestin, termasuk 41 kanak-kanak kehilangan tempat tinggal apabila Rejim Zionis memusnahkan bangunan perkampungan mereka di Tebing Barat, dalam kejadian terbaharu.

Menurut kenyataan pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Yvonne Helle, Israel telah menceroboh perkampungan suku Badwi yang terletak berdekatan sempadan Jordan.

Mereka merobohkan lebih 76 bangunan termasuk rumah, khemah, tempat perlindungan haiwan ternakan, tandas dan panel solar.

Katanya, perobohan perkampungan Humsa Al Bqai’a pada Selasa itu yang terburuk dekad ini, menyebabkan pemindahan paksa terbesar sejak empat tahun.

“Hak komuniti Palestin dicabuli apabila bangunan-bangunan asas kehidupan dirobohkan, lebih-lebih lagi apabila musim sejuk hampir tiba dan pandemik COVID-19 masih berleluasa,” kata Helle dalam kenyataan yang dimuat naik di laman web The United Nations Office for the Coordination of Humanitarian Affairs (OCHA).

Dalam pada itu, agensi militan Israel yang berkomunikasi dengan Palestin, COGAT mendakwa tindakan merobohkan itu dilakukan terhadap struktur yang didakwa sebagai penempatan haram.

Israel sering menggunakan alasan ketiadaan permit pembinaan di penempatan Palestin sekitar Tebing Barat bagi menjustifikasi tindakan mereka merobohkan struktur dan memindahkan rakyat Palestin daripada tanah itu.

Perdana Menteri Palestin, Mohammad Shtayyeh menerusi Twitter peribadinya berkata Israel telah mengambil kesempatan waktu perhatian satu dunia bertumpu pada Pilihan Raya Amerika Syarikat (AS) untuk melakukan perobohan itu.

Pagi Khamis, penduduk Palestin yang terlibat telah berpindah kembali ke kawasan itu menggunakan khemah yang didermakan oleh kumpulan organisasi bantuan Palestin, menurut Reuters.

Kejutan Palestin pada hujung Ramadan

Leave a Reply