147 terima darjah, pingat kebesaran Perak · MYKMU.NET

147 terima darjah, pingat kebesaran Perak

Share

IPOH: Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang, dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, mendahului senarai 147 penerima darjah serta pingat kebesaran sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Ke-64 Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Affendi dan Acryl Sani dikurniakan Darjah Seri Panglima Taming Sari (SPTS) yang membawa gelaran Datuk Seri Panglima.

Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim, menerima Darjah Datuk Paduka Cura Si Manja Kini (DPCM) yang membawa gelaran Datuk.

Penganugerahan Darjah Datuk Paduka Mahkota Perak (DPMP) yang membawa gelaran Datuk pula dikurniakan kepada 11 tokoh dan individu.

Mereka ialah Naib Canselor Universiti Sultan Azlan Shah, Tan Sri Dr Nordin Kardi; Pakar Perunding Kanan Obstetrik & Ginekologi & Uroginekologi, Jabatan Obstetrik & Ginekologi Hospital Raja Permaisuri Bainun, Dr A Aruku; dan Pengarah Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga, Jabatan Kesihatan Awam, Kementerian Kesihatan (KKM), Dr Faridah Abu Bakar.

Turut menerima, Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Operasi Sekolah) Kementerian Pendidikan (KPM), Adzman Talib; Pengurus Besar Lembaga Air Perak, Ishak Abd Rahman; dan Pensyarah Pusat Pengajian Sains Komputer, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Bahari Belaton.

Noor Hisham dikurnia Tan Sri sempena keputeraan Agong

Penerima lain ialah Pengasas Ketua Pegawai Eksekutif Institute Of Advanced Islamic Studies (IAIS), Prof Dr Mohammad Hashim Kamali; Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia, Datuk Azemi Abdul Aziz; dan Ketua Pengarah Pusat Serantau Asia Tenggara Bagi Mencegah Keganasan (SEARCCT), Kementerian Luar, Chuah Teong Ban.

Turut menerima DPMP ialah Pakar Perunding Jabatan Surgeri Ortopedik, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya (UM), Prof Dr Kwan Mun Keong; dan Presiden Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia, Dr Saunthari Dharmalingam.

Lima individu menerima Darjah Datuk Pahlawan Taming Sari (DPTS) yang membawa gelaran Datuk Pahlawan, iaitu Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain; dan Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid.

Turut menerima DPTS ialah Ketua Pengarah Cawangan Perkhidmatan Kejuruteraan Pertahanan, Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Brigedier Jeneral Ir Anhar Anuar; Inspektor Jeneral daripada Markas Tentera Laut, Laksamana Muda Muhammad Ruzelme Ahmad Fahimy; dan Pengarah Kesihatan Bahagian Perkhidmatan Kesihatan ATM, Brigedier Jeneral Dr Nor Azam Jais.

Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Tan Sri Zahidi Zainuddin, berkata Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Negeri Perak hanya akan diadakan pada tarikh yang ditetapkan kemudian, bergantung sepenuhnya kepada situasi semasa penularan pandemik COVID-19.

Berdasarkan perkembangan semasa itu, acara rasmi utama bersempena sambutan seperti Majlis Santapan Diraja, Istiadat Kawalan Kehormatan serta Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia, Menjunjung Duli serta Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak, terpaksa ditangguhkan dan akan diadakan pada tarikh ditetapkan kemudian.

Hanya Majlis Bacaan Surah Yasin dan Doa Selamat yang akan diadakan bertempat di Masjid Sultan Idris Shah II (Masjid Negeri) pada solat Jumaat, hari ini.

Majlis sama akan turut diadakan di semua masjid daerah di seluruh negeri dengan diketuai Orang Besar Jajahan dan Pegawai Daerah mengikut daerah masing-masing.

Jumlah penerima darjah kebesaran dan pingat tahun ini terhad jika dibandingkan dengan tahun lalu, dan hanya mereka yang benar-benar layak serta memenuhi kriteria ditetapkan mendapat perkenan Sultan Perak untuk dikurniakan darjah kebesaran dan pingat.

Pengurniaan Darjah Kebesaran dan pingat juga tertumpu kepada pasukan barisan hadapan, khususnya di negeri ini, yang telah banyak berkorban masa serta tenaga berjuang menentang dan mengekang penularan COVID-19.

Rakyat Perak turut diseru bersama-sama merai dan menyemarakkan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Perak dengan mengibarkan bendera negeri di bangunan pejabat, perniagaan dan kediaman masing-masing.

Leave a Reply