Bapa pukul anak ketika sesi pembelajaran dalam talian ditahan

Gambar Hiasan

PETALING JAYA: Tindakan seorang bapa memukul anak perempuannya dengan sebatang kayu supaya fokus ketika sesi pembelajaran melalui dalam talian mengundang padah apabila dia ditangkap, semalam.

Kejadian disedari seorang guru sebuah sekolah rendah di Shah Alam yang menjalankan sesi kelas dalam talian itu sebelum membuat satu laporan polis pada jam 3.16 petang.

Ketika kejadian, mangsa sedang mengikuti kelas dalam talian bersama guru terbabit di kediamannya di Kelana Jaya di sini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, berkata guru terbabit sedang mengadakan kelas dalam talian sebelum nampak mangsa yang berusia 12 tahun dipukul pada belakang badan dengan sebatang kayu oleh suspek.

“Susulan laporan polis yang diterima, suspek yang berusia 41 tahun ditahan di tempat letak kereta Seksyen 8 di sini, semalam.

“Siasatan awal mendapati suspek memukul mangsa semasa kelasĀ  di dalam talian dengan tujuan mengajar anaknya supaya lebih peka ketika dalam kelas dalam talian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semakan mendapati suspek tiada sebarang rekod jenayah dan dibebaskan dengan jaminan polis atas faktor kesihatan.

Selain itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat memutuskan mangsa diserahkan kepada keluarganya selepas membuat beberapa penilaian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker