Pengguna Celcom berang kerana gangguan perkhidmatan data mudah alih
PETALING JAYA: Celcom menasihatkan pelanggannya yang terkesan dengan gangguan perkhidmatan data mudah alih untuk menghidupkan semula peranti mereka.
Katanya, pelanggan di beberapa kawasan di seluruh negara mungkin mendapati perkhidmatan data terjejas akibat isu teknikal.
“Pasukan teknikal kami sedang bekerja keras untuk menyelesaikan masalah ini dan akan memulihkan perkhidmatan secepat mungkin. Pelanggan yang terjejas dinasihat menghidupkan semula peranti mereka,” katanya dalam kenyataan di laman webnya.
Sejumlah pelanggan menerusi Twitter menyuarakan kegagalan mereka melayari laman web.
Ehsal Jesrin berkata: “(Saya) bayar ratusan ringgit kepada Celcom dan (sekarang saya) mengalami masalah ini!”
Seorang lagi pengguna, Cik Siti berkata: “Pada hari paling sibuk! Saya ada kelas! Dari 8 pagi hingga 9 malam, dan hari ini yang anda pilih untuk jadi seperti ini.”
Beberapa pengguna meminta diberikan internet percuma selepas isu ini diselesaikan.
Bulan lalu, Celcom menawarkan internet percuma selama 6 jam kepada penggunanya susulan gangguan perkhidmatan selama 3 jam.-FMT