Bukan culik bayi, ibu angkat berebut dengan ibu kandung
MELAKA: Polis mengesahkan klip video yang tular kononnya dikaitkan dengan kes penculikan bayi di Pusat Transformasi Bandar (UTC), Jalan Hang Tuah di sini, sejak pagi tadi adalah berpunca daripada perebutan hak menjaga.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superintendan Yusharifuddin Mohd Yusop, berkata kes terbabit bukan diklasifikasikan sebagai penculikan sebaliknya perebutan anak antara ibu kandung dengan ibu angkat.
“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kita berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan,” katanya kepada media, hari ini.
Menerusi video berdurasi 42 saat yang tular itu, kejadian dipercayai berlaku jam 3 petang apabila bayi perempuan berusia lima bulan itu dilarikan seorang lelaki dan wanita.
Difahamkan, ketika kejadian, ibu angkat bayi berkenaan datang ke UTC untuk menguruskan kad pengenalan Mykid bayi berkenaan.
Bagaimanapun, seorang lelaki secara tiba-tiba datang dan merampas bayi berkenaan daripada ibu angkatnya yang sedang hamil sebelum menuju ke tempat letak motosikal.
Ibu kandung bayi berkenaan yang sedang menunggu di motosikal kemudian membonceng motosikal ditunggang lelaki berkenaan bersama anaknya itu.
Kejadian itu dipercayai berlaku disebabkan salah faham antara keluarga angkat dan ibu kandung bayi berkenaan dan kedua mereka dikatakan saling mengenali.
You must be logged in to post a comment.