Cari Rezeki Jadi Bumblebee

Kuala Lumpur: “Ini sajalah punca rezeki saya setelah penganjuran acara, ekspo mahupun program kostum tidak lagi dibuat sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Mac lalu,” kata pengurus acara yang hanya mahu dikenali sebagai Ayien Nor.

Ayien, 44, berkata, demi kelangsungan hidup keluarganya, dia tidak memilih pekerjaan dan sanggup mencari rezeki dengan memperagakan kostum watak Bumblebee dalam filem Transformers di sekitar Setiawangsa, di sini.

Bagi bapa kepada anak dua itu, berdiri berjam-jam dan berpanas sudah menjadi rutin hariannya dalam mencari rezeki.

Katanya, selepas pandemik Covid-19 melanda negara, pendapatannya jatuh 50 peratus berbanding dulu disebabkan ketiadaan pelancong.

“Sesiapa mahu mengambil gambar dengan kostum saya pakai ini dikenakan bayaran RM10 saja untuk satu kumpulan.

“Ambillah seberapa banyak gambar dan video yang mereka mahukan tanpa had kerana beginilah cara saya mencari rezeki sebagai ‘KL Street Artist’ berlesen,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, dia baru saja mula memperagakan kostum watak dalam Transformers itu, tahun lalu.

Katanya, sebelum ini dia mampu meraih hampir RM600 hingga RM700 apabila tiga jam berada di kawasan tumpuan pelancong terutama sekitar bandar raya.

“Kini, seminggu pun belum tentu boleh capai RM700, namun saya tetap bersyukur masih ada mahu mengambil gambar dan memberi RM10 kepada saya.

“Saya dibantu rakan ketika memakai dan menanggalkan kostum berkenaan ketika mula bekerja dari 6 petang hingga 8 malam.

“Walaupun masih bekerja dalam tempoh pandemik ini, saya tetap mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan termasuk menjaga jarak fizikal dan setiap pelanggan perlu mengimbas kod QR aplikasi MySejahtera yang disediakan,” katanya yang menetap di Batu Caves.

Menurutnya, kostum diperagakannya itu dibuat daripada hasil tangannya sendiri dan mengambil masa hampir dua bulan unuk disiapkan.

Katanya, selain kostum Bumblebee, dia turut memiliki koleksi kostum Optimus Prime serta beberapa kostum watak dalam siri Marvel Avengers dan filem Star Wars.

“Sebenarnya, kostum Bumblebee ini hanya digunakan ketika penganjuran acara atau program, tetapi ekoran pandemik Covid-19, saya gunakan ia setiap hari untuk mencari rezeki di sekitar Kuala Lumpur.

“Ramai anggap kostum itu diperbuat daripada besi, tetapi sebenarnya ia daripada ‘eva foam’ yang lebih ringan dan sejuk,” katanya.

Terdahulu, gambar Ayien Nor memperagakan kostum Bumblebee pernah tular di Twitter sehingga diulang kicau lebih 5,000 kali dan mendapat 4,000 tanda suka.

Perkongsian itu dikongsikan pengguna Twitter milik @Abiydahalira yang memuji dan menyokong usaha Bumblebee Malaysia itu mencari rezeki dalam tempoh pandemik ini.-HM

KREATIF: Tarik pelanggan dengan kostum SPIDERMAN, pemuda ini guna cara ini untuk tarik pelanggan membeli PETAI

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker