Mahkamah Persekutuan batal saman kedua balu Balasubramaniam · MYKMU.NET

Mahkamah Persekutuan batal saman kedua balu Balasubramaniam

Share

PUTRAJAYA: Balu mendiang penyiasat persendirian, P Balasubramaniam, gagal mengemukakan kembali saman kedua terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak; isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, dan enam lagi.

Ini berikutan Mahkamah Persekutuan menolak permohonan kebenaran untuk merayu yang difailkan oleh A Santamil Selvi terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membatalkan samannya.

Panel tiga hakim dipengerusikan oleh Tan Sri Rohana Yusuf membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan pihak terbabit yang dijalankan melalui sidang video disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)

Dua lagi hakim ialah Datuk Harmindar Singh Dhaliwal dan Datuk Rhodzariah Bujang.

Peguam, Datuk Mohd Hafarizam Harun yang mewakili Najib dan Rosmah ketika dihubungi, berkata permohonan kebenaran merayu itu ditolak tanpa perintah berhubung kos.

Pada 25 Julai 2018, panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan, iaitu Datuk Tengku Maimun Tuan Mat, Datuk Suraya Othman serta Datuk Stephen Chung Hian Guan, membenarkan rayuan Najib, Rosmah dan enam lagi untuk membatalkan saman kedua yang difailkan terhadap mereka oleh Santamil Selvi.

Enam lagi ialah adik-beradik Najib, iaitu Datuk Mohd Nazim dan Datuk Ahmad Johari; peguam, Tan Sri Cecil Abraham dan anaknya, Sunil Abraham; peguam, Arulampalam Mariampillai; dan Pesuruhjaya Sumpah Zainal Abidin Muhayat.

Dalam keputusannya, Tengku Maimun berkata, Santamil Selvi memfailkan saman itu melangkaui batas masa, iaitu lebih daripada tempoh enam tahun.

“Kami bersetuju bahawa memfailkan saman kedua berdasarkan fakta sama, membabitkan pihak sama selepas saman pertama dibatalkan, adalah penyalahgunaan proses mahkamah,” katanya.

Beliau berkata, mahkamah tidak boleh menerima hujah Santamil Selvi bahawa wanita itu tidak boleh memfailkan saman berkenaan lebih awal kerana beliau dan keluarganya berada di luar negara. – BERNAMA

Leave a Reply