Pilihan Raya Presiden AS: keputusan 7 negeri belum diketahui

ANKARA: Keputusan sama ada calon Republikan, Donald Trump atau pencabarnya dari Demokrat, Joe Biden yang akan memenangi kerusi Presiden Amerika Syarikat (AS) bergantung kepada keputusan undian membabitkan tujuh negeri yang belum diumumkan, lapor agensi berita Anadolu.

Di Pennsylvania, Trump mendahului dengan 55.7 peratus, manakala Biden mencatatkan 43.1 peratus dengan lebih daripada 75.2 peratus undian popular yang dilaporkan bagi 20 undian elektoral di negeri itu, mengikut laporan portal AS, RealClearPolitics serta berdasarkan data undian.

Bagaimanapun, penganalisis berpandangan sebahagian besar undian di negeri itu masih belum dikira dan mereka menjangkakan ia mungkin mengurangkan jurang di pihak Biden.

Trump hari ini meminta supaya semua proses undian dihentikan dan mendakwa sudah mencapai kemenangan, bagaimanapun pihak Demokrat berkata, proses pengundian yang mungkin mengambil masa berhari-hari adalah sah bagi amalan undang-undang di Pennsylvania.

Di Michigan, iaitu antara negeri utama di AS, Trump turut mendahului dengan 51.5 peratus, manakala Biden memperoleh undian sebanyak 46.9 peratus bagi 16 undian elektoral di negeri itu.

Trump turut dilaporkan menghampiri detik kemenangan di Georgia apabila meraih peratusan undian sebanyak 50.5 peratus, manakala Biden tidak begitu jauh di belakangnya dengan 48.3 peratus.

“Will you shut up, man?” – Joe Biden bidas Donald Trump [Video]

Presiden AS itu turut yakin mampu menempah kejayaan di North Carolina apabila meraih 50.1 peratus undian popular mengatasi pencabarnya, Biden dengan 48.7 peratus.

Di Wisconsin yang mewakili 10 undian elektoral, Biden mendahului Trump dengan peratusan yang sangat tipis iaitu 49.4 peratus, sementara Presiden AS itu dilaporkan mengejar dengan 47.9 peratus.

Sementara itu, di Alaska, yang mewakili tiga undian elektoral, Trump jauh di depan dengan 63 peratus mengatasi Biden dengan undiannya cuma 33.1 peratus.

Menurut The Associated Press (AP), Trump telah menawan Florida bersama sebahagian besar wilayah barat dan tengah baratnya termasuk South Carolina, West Virginia, Indiana, Tennessee, Alabama, Mississippi, Arkansas, Louisiana, Missouri, Oklahoma, Ohio, Texas, Iowa, Kansas, Nebraska, North and South Dakota, Wyoming, Montana, Idaho, dan Utah.

Biden pula menang besar di timur dan pantai barat termasuk di Virginia, Maryland, New Jersey, New York, Connecticut, Massachusetts, Vermont, New Hampshire, Maine, Washington, Oregon, California, Minnesota, Illinois, Arizona, Hawaii, Colorado, dan New Mexico.

Setakat ini, Biden mendahului dengan 238 undian elektoral berbanding Trump (213) dalam perlumbaan sengit untuk mencapai angka kemenangan iaitu 270. – BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker