Sisa klinikal, judi tak berlesen antara dijangka dibangkit di parlimen · MYKMU.NET

Sisa klinikal, judi tak berlesen antara dijangka dibangkit di parlimen

Share

Isu pembuangan sisa klinikal khas, pelan bendung kegiatan judi tidak berlesen dan bentuk bantuan kerajaan kepada bekas pekerja Malindo Air antara perkara bakal dibincangkan pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, perkara berkenaan menjadi tumpuan Ahli Parlimen menerusi tiga soalan pada Sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri dalam sidang dewan yang memasuki hari kedua.

Ahmad Jazlan Yaakub (BN-Machang) mengemukakan soalan kepada Menteri Alam Sekitar dan Air sama ada kementerian bercadang mewujudkan tempat pembuangan sisa klinikal khas di setiap negeri kerana terdapat peningkatan pembuangan sampah seperti pelitup muka dan sarung tangan terutama di Sungai Klang sejak negara dilanda pandemik COVID-19 pada Mac.

Seterusnya, Kesavan Subramaniam (PKR-Sungai Siput) pula meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan perancangan strategik kerajaan bagi membendung kegiatan judi tidak berlesen agar masalah sosial dapat dikurangkan sekali gus menambah hasil percukaian negara.

Kit Siang terkejut beruk Najib dilantik Pengerusi BNBBC

Sementara itu, Kasthuriraani Patto (PH-Batu Kawan) mengajukan soalan kepada Menteri Sumber Manusia mengenai bentuk bantuan untuk pekerja Malindo Air yang diberhentikan serta rancangan kementerian bagi memastikan jaminan pekerjaan kepada mereka.

Dalam sesi soal jawab lisan pula, isu berkaitan pencemaran sungai dan isu reformasi sistem penjara susulan Covid-19 dijangka menjadi tumpuan perbincangan Ahli Parlimen dengan beberapa soalan akan diajukan.

Antaranya, Datuk Hasan Arifin (BN-Rompin) bertanyakan Menteri Alam Sekitar dan Air tentang jumlah syarikat yang dikenakan tindakan undang-undang kerana menyebabkan pencemaran sungai dan menjejaskan bekalan air manakala Dr Mohd Hatta Md Ramli (PH-Lumut) bertanya kepada Menteri Dalam Negeri mengenai langkah reformasi sistem penjara selepas penularan mendadak Covid-19 dalam kalangan banduan dan staf penjara.

Tumpuan juga dijangka terarah kepada beberapa pembentangan Rang Undang-Undang bagi bacaan kali pertama, termasuk Rang Undang-undang Perbekalan 2021 dan Rang Undang-undang Lembaga Angkasa Malaysia 2020.

Persidangan Parlimen kali ini turut melihat semua Ahli Parlimen dan petugas Parlimen dikehendaki mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah Covid-19 termasuk memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal di dalam dewan.

Sesi Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 berlangsung selama 27 hari dengan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz dijadual membentangkan Belanjawan 2021 pada Jumaat ini.

– Bernama

Kasih mentua hingga akhir hayat

Leave a Reply