Kes COVID-19 tinggi, penduduk Kuching dinasihat beli makanan secara bungkus

Penduduk di daerah Kuching dinasihatkan untuk membeli makanan secara bungkus memandangkan kes-kes positif COVID-19 yang tinggi dilaporkan di daerah ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBNS) Datuk Amar Douglas Uggah berkata, perkara itu antara beberapa cadangan dan nasihat oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak berhubung peningkatan kes positif di daerah Kuching.

Keputusan itu, katanya, dibuat hasil mesyuarat yang dilakukan oleh JPBNS hari ini.

“Antara cadangan dan nasihat lain ialah semua majikan dan Ketua Jabatan digalakkan untuk membenarkan pekerja mereka bekerja dari rumah dalam tempoh dua minggu ini sehingga arahan terbaharu dikeluarkan.

“Untuk pergerakan antara daerah, rakyat Sarawak dinasihatkan untuk tidak melakukan perjalanan ke kawasan zon merah, terutamanya di daerah Kuching. Begitu juga dengan penduduk di daerah Kuching, mereka tidak digalakkan untuk keluar dari daerah Kuching dalam tempoh dua minggu ini,” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 di Sarawak, hari ini.

Mengenai kutipan derma bagi Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Haji Baki kata Uggah, Jawatankuasa ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua penderma ke kawasan berkenaan.

“Kepada semua badan bukan kerajaan (NGO) yang ingin membantu atau telah menyediakan talian bantuan mereka sendiri adalah diminta supaya menghubungi pejabat Residen Kuching untuk mendapatkan persetujuan.

“Bagi badan bukan kerajaan dan orang persendirian yang ingin untuk mengumpul derma, mereka harus mendapat izin dari pejabat Residen Kuching terlebih dahulu, sehingga kesahihan pemungut derma dapat disahkan dan pengedaran sumbangan dapat diselaraskan dengan teratur,” katanya sambil memberi amaran kepada orang ramai mengenai taktik penipuan penderma mengumpulkan derma dan lain-lain.

Sementara itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada premis perniagaan yang mengambil tindakan proaktif dalam memberitahu pelanggan dan orang ramai berhubung dengan kes positif yang diketahui di premis mereka.

Pemberitahuan penutupan premis mereka, menurutnya, adalah untuk menjalani proses sanitasi agar premis mereka bebas dari COVID-19 setelah dikunjungi pelanggan yang didapati positif.

“JPBNS harap agar semua premis perniagaan dapat mengambil langkah yang sama untuk melindungi pelanggan dan orang ramai dalam menangani COVID-19,” katanya.

Dalam pada itu, Uggah yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, hari ini daerah Kuching kekal berstatus merah dengan jumlah keseluruhan seramai 100 kes jangkitan tempatan dilaporkan dalam tempoh 14 hari yang lepas.

“Daerah Lundu, Miri dan Limbang juga kekal berstatus kuning. Ini menjadikan jumlah daerah yang berstatus merah adalah satu buah daerah, tiga berstatus kuning dan 36 buah daerah yang lain di Sarawak kekal berada dalam status hijau,” katanya. UB

Semua sekolah dan institusi pengajian di Kuching ditutup 2 minggu

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker