Semua sekolah dan institusi pengajian di Kuching ditutup 2 minggu

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil perhatian berhubung peningkatan kes positif COVID-19 di daerah Kuching, Sarawak.

Daerah ini telah disahkan sebagai zon merah oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Selaras dengan perutusan Khas YAB Perdana Menteri pada 6 Oktober 2020 berhubung keputusan kerajaan untuk menutup sekolah di kawasan-kawasan yang disahkan zon merah oleh KKM, KPM memaklumkan bahawa semua institusi pendidikan di kawasan zon merah di daerah Kuching, Sarawak akan ditutup bermula 30 Oktober 2020 sehingga 13
November 2020. Ini melibatkan sebanyak 209 institusi pendidikan di seluruh daerah Kuching.

Bilangan ini merangkumi sekolah rendah dan menengah di bawah KPM, Institusi Pendidikan Guru, Kolej Matrikulasi
serta sekolah swasta yang berdaftar dengan KPM.

Senarai institusi pendidikan yang ditutup di daerah Kuching dilampirkan bersama-sama untuk rujukan ibu bapa, penjaga dan warga sekolah/institusi.

Untuk makluman juga, senarai ini akan dikemaskini dari semasa ke semasa dan
akan dimuat naik di portal KPM di www.moe.gov.my dan di platform media
sosial rasmi KPM.

Sekolah dan institusi pendidikan yang mempunyai asrama juga ditutup.

Ibu bapa atau penjaga perlu mengambil murid atau pelajar yang tinggal di
asrama tersebut untuk pulang.

Walau bagaimanapun, murid atau pelajar
yang menunggu untuk diambil ibu bapa atau murid yang ingin terus kekal
berada di asrama sekolah atau institusi pendidikan sepanjang tempoh penutupan akan berada di bawah penjagaan warden asrama.

Keperluan makan dan minum murid atau pelajar sepanjang tempoh tersebut akan
disediakan oleh pihak sekolah atau institusi pendidikan.

Bagi murid-murid yang perlu menduduki peperiksaan antarabangsa seperti yang telah dijadualkan sepanjang tempoh penutupan institusi pendidikan, mereka hendaklah mendapatkan surat dari sekolah masing-masing untuk menghadiri peperiksaan.

Sepanjang tempoh penutupan tersebut, pentadbir sekolah serta semua institusi pendidikan diarah untuk memastikan guru-guru, tenaga pengajar serta murid dan pelajar melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah.

Manual pengajaran dan pembelajaran di rumah boleh dimuat turun di portal rasmi KPM www.moe.gov.my.

Dalam hal ini, KPM sentiasa memantau situasi di seluruh negara serta
sentiasa bekerjasama dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan KKM.

Sebarang pemakluman berhubung penutupan sekolah dan institusi pendidikan akan dibuat dari semasa ke semasa.

KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA
28 OKTOBER 2020

Semua sekolah di zon merah ditutup

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker