‘Gengster’ tercicir pistol ketika bergaduh

KLANG: Polis memburu seorang lelaki dipercayai ahli Geng 24 Apache yang tercicir senjata api jenis revolver ketika melarikan diri selepas bergaduh di Taman Sentosa di sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli, berkata suspek, K Parameswaran, 31, disahkan mempunyai empat rekod jenayah membabitkan kes pecah rumah, samun, dadah dan curi kenderaan.

Mengulas kejadian Sabtu lalu, beliau berkata sepasukan anggota Cawangan Jenayah Berat (D9) Daerah (IPD) Klang Selatan bergegas ke lokasi sejurus menerima maklumat mengenai pergaduhan di Taman Sentosa.

“Sebaik sampai, suspek sedang bergelut dengan seorang lelaki lain. Namun, menyedari kehadiran polis suspek terus melarikan diri.



“Hasil pemeriksaan, polis menemui pistol jenis Smith & Wesson buatan Amerika Syarikat di lokasi kejadian dipercayai milik suspek yang tercicir ketika bergaduh.

“Polis turut menemui kereta jenis Proton Iswara miliknya di lokasi tempat kejadian,” katanya ketika sidang media hari ini.

Shamsul Amar berkata, susulan itu polis menyerbu rumah suspek di lokasi berhampiran dan merampas enam peluru hidup bertulis ‘Gun Heaven’ dalam sebuah beg galas milik lelaki itu.

“Selain memiliki empat rekod jenayah, suspek pernah ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) membabitkan Geng 24 Apache.



“Kita masih menyiasat sama ada suspek masih lagi aktif sebagai ahli geng terbabit,” katanya mengesahkan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebin Berat) 1971.

Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai suspek diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker