Maszlee Malik tinggalkan Mahathir, Ishtihar ‘bebas’
Maszlee Malik mengumumkan menarik diri sebagai anggota jawatankuasa penaja Pejuang dan akan bergiat sebagai anggota parlimen bebas.
Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik mengumumkan penarikan diri beliau sebagai Ahli Jawatankuasa Penaja (AJK) penubuhan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).
Menurut Maszlee, keputusan itu dibuat berdasarkan dapatan fakta kajian lapangan dan tinjauan terperinci terhadap aspirasi serta kehendak rakyat terbanyak.
Bekas Menteri Pendirikan era pemerintahan Pakatan Harapan itu menegaskan, beliau yakin rakyat sudah muak dengan politik percaturan kuasa oleh politikus elitis.
“Rakyat mahukan ahli politik yang fokus berkhidmat dan benar-benar menyelesaikan masalah yang rakyat hadapi sekarang,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Sehubungan itu, Maszlee berkata, beliau akan meneruskan usaha dalam gerakan perubahan pendidikan melalui kapasitinya sebagai Ahli Parlimen Bebas.
“Saya percaya, perubahan tidak memerlukan kedudukan dan jawatan, tetapi keinginan dan kesempatan,” katanya lagi.
Baru-baru ini tular Akuan Bersumpah yang ditandatangani Maszlee memberikan sokongan kepada Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri kesembilan.
Sehingga hari ini, Maszlee atau pegawainya tidak pernah mengesahkan atau menafikan berhubung Akuan Bersumpah yang tular itu.
Penjelasan Maszlee juga sekali gus menjawab pertanyaan kenapa namanya tidak disebut dalam kenyataan Pejuang berhubung sokongan ke atas Belanjawan 2021.
Kenyataan Pejuang yang diedarkan kepada media semalam hanya menyebut empat nama pengasas Pejuang iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Mukhriz Mahathir serta dua lagi Ahli Parlimen Datuk Amiruddin Hamzah dan Datuk Dr Shahruddin Md Salleh.
You must be logged in to post a comment.