6 kes termasuk petugas media positif Covid-19 di parlimen
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan enam kes positif Covid-19 dikesan hari ini merupakan individu yang bertugas di Parlimen.
Enam kes tersebut melibatkan seorang petugas media, seorang pembantu senator dan empat anggota polis bantuan yang bertugas di parlimen.
“Hari ini kita dapat kesan seorang polis bantuan disahkan positif dan menerusi kontak rapat, tiga rakan sekerjanya dan isterinya juga positif.
“Seorang lagi petugas media juga positif. Kita sedang menjalankan saringan kepada keluarga, tujuh daripada mereka, tetapi belum dapat keputusan.
“Pembantu senator juga positif. Kita dah kenal pasti 12 (kontak rapat), kita juga dah arahkan mereka untuk kuarantin,” kata Noor Hisham dalam sidang media harian Covid-19 di bangunan Kementerian Malaysia (KKM) di Putrajaya hari ini.
Pegawai Khas Ahli Dewan Negara Ras Adiba Radzi, Positif Covid-19
Semua anggota Parlimen dan kakitangan Dewan Rakyat diwajibkan untuk melakukan ujian saringan Covid-19 tiga hari sebelum persidangan bermula.
Hari ini, Menteri Undang-undang Takiyuddin Hasan berkata beberapa kakitangan Dewan Negara telah disahkan positif wabak tersebut.
Maka dia mengemukakan usul agar sesi persidangan Dewan Rakyat hari ini ditamatkan pada jam satu tengah hari.
Takiyuddin berkata, cadangan itu juga diusulkan selepas Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan risiko amat tinggi jika persidangan berlangsung dalam tempoh lama.
Noor Hisham mengulangi kenyataan itu pada sidang media hari ini dan berkata nasihat kementerian secara umum adalah agar semua pihak mengelakkan kawasan sesak, terutama di kawasan yang terdapat kes positif kerana risik jangkitan yang tinggi.
Dia kemudian menggesa semua pihak yang ke Dewan Rakyat untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan mengikut nasihat KKM.
Dewan Rakyat dipendekan selepas kakitangan positif Covid-19
Sementara itu, Noor Hisham turut memaklumkan sejak dari awal Covid-19 menular, KKM telah mengerahkan pegawai kesihatan dari jabatan pergigian untuk turut memberi bantuan dalam melakukan ujian swab.
Ia bagi menambah tenaga kerja agar kakitangan dapat ditugaskan secara bergilir dan mendapat rehat secukupnya.
“Walaupun mereka dari jabatan pergigian dan bukan kesihatan awam, mereka boleh bantu. Ini pelbagai tugas (multi-task) dari bidang lain. Ini cara kita menghulurkan bantuan di KKM,” katanya.
Sebagai contoh, Noor Hisham berkata di Kluster Hentian, KKM mengerahkan 17 pegawai pergigian untuk turut melakukan ujian saringan di sana.