Sudah sebulan kakak (OKU) hilang
JELEBU – Seorang wanita meminta bantuan orang ramai mengesan kakaknya yang merupakan orang kurang upaya (OKU) yang telah sebulan dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah di Kuala Klawang sejak 1 Oktober lalu.
Noorhaslinda Rosli, 30, berkata, kakaknya, Noorazura Rosli, 35, masih belum dapat dikesan hingga kini meskipun pelbagai usaha telah dilakukan.
Menurutnya, ketika kejadian kakak sulungnya itu telah keluar seorang diri membeli makanan di sebuah kedai makan di Kuala Klawang.
“Kakak keluar dengan mengenakan pakaian seluar kembang kelabu dan berbaju bunga berwarna oren pada jam 3 petang,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Bagaimanapun katanya, emak yang tinggal bersama kakak mula menyedari dia hilang kerana masih tidak pulang ke rumah sehingga lewat petang.
Menurutnya, mereka sekeluarga sudah puas mencari kakaknya di sekitar Jelebu termasuk menggunakan kaedah perubatan Islam, namun masih gagal.
“Kami juga telah ambil inisiatif menampal gambar kakak di beberapa lokasi tumpuan ramai di Seremban dan Kuala Pilah.
“Maklumat terakhir yang kami terima ada yang nampak kakak di Ampangan. Khamis lalu saya ada pergi ke sana cari kakak, tapi tetap tak jumpa,” katanya yang telah membuat laporan di Balai Polis Kuala Klawang.
Noorhaslinda yang tinggal di Bangi berkata, dia dan keluarga bimbangkan keselamatan kakaknya yang juga OKU mental dan sangat mengharapkan bantuan orang ramai untuk memberi maklumat.
Orang ramai yang mengetahui di mana Noorazura berada boleh menghubungi Noorhaslinda di talian 012-6186908 atau Hafida di talian 018-3574864. Sinar