Menyamar anggota AADK sebelum peras ugut

Share

KUALA TERENGGANU – Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Terengganu meminta orang ramai agar berwaspada apabila didatangi pihak yang mengaku sebagai anggota AADK bagi mengelak menjadi mangsa pemerasan pihak tidak bertanggungjawab.

Pengarahnya, Rosland Hussen berkata, pihaknya sebelum ini menerima aduan daripada orang ramai yang kononnya didatangi pihak mengaku sebagai anggota AADK dan ingin melakukan ujian saringan air kencing sebelum meminta sejumlah wang sekiranya mahu dibebaskan.

Beliau berkata, orang ramai perlu tahu pihaknya hanya melakukan pemeriksaan ke atas individu yang sudah dikenalpasti hasil aduan diterima sebelum ini terutama daripada ahli keluarga ataupun masyarakat setempat.

“Orang ramai perlu tahu objektif kami adalah lebih kepada merawat dan memulihkan individu yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah jadi kami akan melaksanakan operasi mengesan dan menangkap orang yang disyaki penagih dadah sahaja.

“Malah individu yang mempunyai masalah ketagihan dadah dan ubat-ubatan boleh tampil secara sukarela untuk mendapat khidmat nasihat serta rawatan disediakan tanpa melalui prosedur perundangan sebaliknya hanya perlu mendaftar dan menjalani proses penilaian, tidak perlu melalui tangkapan dan keputusan mahkamah.

“Jadi, biasanya pihak kami akan melakukan pemeriksaan dan penahanan ke atas individu yang memang sudah dikenalpasti hasil maklumat diberi orang terdekat dengan mereka yang datang membuat aduan selain individu yang memang sudah dicari dan memiliki rekod latar belakang dengan kami,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Rosland berkata, anggotanya akan menggunakan kenderaan jabatan setiap kali turun ke lokasi hasil aduan awam dan akan mengenakan baju vest yang tertera AADK.

“Perkara utama perlu dilakukan oleh anggota adalah memperkenalkan diri mereka dengan menunjukkan kad kuasa sah dikeluarkan jabatan kepada individu yang hendak diperiksa itu.

“Sekiranya pada masa itu ujian saringan awal air kencing perlu dilakukan, anggota akan membawa individu berkenaan balik ke pejabat AADK berhampiran atau bilik gerakan yang dibuka sempena operasi itu.

“Kami tidak akan sewenang-wenangnya melakukan ujian saringan air kencing di lokasi kecuali dalam operasi bersepadu bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan lain-lain,” katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian ada melaporkan polis menahan empat lelaki tempatan selepas menyamar sebagai pegawai AADK dengan meminta sejumlah wang daripada empat individu termasuk seorang remaja perempuan berusia 19 tahun di Pantai Bukit Keluang Besut. Sinar

Lari berbogel elak dicekup

Leave a Reply