Pengeluaran KWSP, daripada berhutang meminjam lebih baik guna duit sendiri

Share

SHAH ALAM- Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) meminta kerajaan mengkaji semula cadangan pengeluaran akaun satu caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam usaha meringankan beban pekerja di Malaysia yang tertekan ekoran penularan pandemik koronavirus (Covid-19).

Timbalan Presidennya, Mohd Effendy Abdul Ghani berkata, kelonggaran bagi pengeluaran tersebut antaranya dapat membantu mereka yang tiada pekerjaan mahupun kehilangan pekerjaan.
Menurutnya, ada kemungkinan pekerja terpaksa meminjam dengan institusi kewangan sehingga ke pinjaman ah long disebabkan terhimpit untuk meneruskan kehidupan harian.

“MTUC berpendapat daripada mereka meminjam, adalah lebih baik kerajaan mempertimbangkan cadangan pengeluaran tersebut.

“Kaedah ini dapat mengurangkan beban ekonomi pekerja terhadap pinjaman sedia ada, bil utiliti yang tertunggak mahupun kegunaan perbelanjaan kehidupan harian di samping menggunakan dana yang dikeluarkan ini sebagai modal perniagaan perniagaan untuk menyara hidup mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Bekukan pengeluaran lesen baharu penjualan arak, cadang Annuar Musa

Bagaimanapun, beliau berkata, MTUC berpendapat kajian terperinci perlu dibuat bagi mengenal pasti mekanisme pengeluaran itu dengan melibatkan semua pihak berkepentingan bagi menentukan jumlah yang munasabah dan mengenal pasti pekerja yang benar-benar memerlukan pengeluaran tersebut.

Sementara itu, Dekan Fakulti Perniagaan dan Pengurusan daripada Universiti Sultan Zainal Abidin, Profesor Madya Dr Ahmad Azrin Adnan berkata, cadangan supaya kerajaan memberikan kelonggaran untuk mengeluarkan wang daripada akaun satu KWSP bukan langkah terbaik.

Katanya, secara umum simpanan wang KWSP adalah bagi tujuan kegunaan pada hari tua atau selepas bersara.

“Pada masa ini pun kerajaan telah memberikan kelonggaran kepada pemilik akaun untuk membawa keluar wang daripada akaun dua. Jika akaun satu juga dibenarkan, kita risau ramai berdepan masalah kewangan pada hari persaraan.

“Tidak ada satu jaminan di mana jika kita berikan kelonggaran pengeluaran akaun satu, pesara akan mempunyai wang yang cukup nanti,” katanya.

30-40% lagi pekerja berisiko dipecat, potong gaji – MTUC

Mengulas lanjut, Ahmad Azrin berkata, apa yang membimbangkan ialah jika kelonggaran diberikan untuk mengeluarkan wang daripada akaun satu, mereka yang tidak terkesan turut mengambil peluang berbuat demikian.

Timbalan Dekan (Pengajian Siswazah dan Jaringan Industri dan Masyarakat) Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Profesor Dr Mohamad Fazli Sabri pula berkata, cadangan supaya kerajaan membenarkan pengeluaran akaun satu KWSP bakal memberi impak besar pada hari persaraan.

Jelasnya, ini ditambah dengan kajian yang menyatakan bahawa jangka hayat rakyat Malaysia akan meningkat dan soal kewangan pastinya menjadi salah satu aspek penting.

“Kalau kita ambil dari situ, dari mana lagi kita nak ada simpanan dan mahu pastikan kelangsungan hidup pada hari tua. Saya lebih selesa gunakan dahulu akaun dua berbanding akaun satu.

“Berdasarkan laporan juga, wang simpanan selepas hari persaraan ini juga hanya mampu bertahan tidak sampai lima tahun. Ini perkara yang membimbangkan jika wang daripada akaun satu dibawa keluar,” katanya.

Kelonggaran suami isteri berjauhan rentas negeri ditarik balik

One thought on “Pengeluaran KWSP, daripada berhutang meminjam lebih baik guna duit sendiri

  • October 31, 2020 at 20:25
    Permalink

    Amat Baik Kita Guna Duit Sendiri,harap kerajaan meluluskan permintaan rakyat untuk keluarkan Duit Rm 10,000

    Reply

Leave a Reply