Isteri melacur demi nafsu, wang
BUNGA diberi, namun najis yang dibalas.
Demikian nasib malang dialami Fauzi (bukan nama sebenar), 33, selepas diperdaya isterinya sendiri yang telah bermain kayu tiga di belakangnya.
Lebih sayu, Sara (bukan nama sebenar), 31, wanita yang dinikahi atas dasar cinta telah bertindak melacurkan diri bagi melampiaskan nafsu serakah untuk mendapatkan wang.
Lebih memilukan hati Fauzi, setiap kali perbuatan jijik itu dilakukan, Sara akan membawa anak mereka yang berusia empat tahun.
Kemelut yang membawa kepada titik noktah rumah tangga pasangan tersebut terjadi selepas kegiatan tidak bermoral isterinya diketahui Fauzi pada awal tahun lalu.
Menceritakan episod lara itu kepada K2, Fauzi yang bekerja sebagai kontraktor di sebuah syarikat swasta di Selangor menikahi Sara pada pertengahan tahun 2013.
Katanya, kehidupan mereka amat bahagia tanpa ada sebarang perbalahan serius dan dia juga senang untuk menunaikan apa jua kemahuan Sara.
“Namun, sejak 2017, saya kerap berada di luar kawasan kerana ditugaskan mengetuai projek pembinaan di utara dan selatan tanah air,” katanya.
Atas dasar kepercayaan, Fauzi tidak mencurigai apa-apa dan terus melaksanakan tanggungjawab sebagai ketua keluarga untuk mencari rezeki.
Jelasnya, dalam tempoh beberapa bulan, suasana rumah tangga mereka masih kelihatan seperti biasa apabila dirinya pulang bekerja dari luar kawasan.
Sara juga dilihat memikul tanggungjawab sebagai suri rumah dan ibu dengan baik sepanjang ketiadaan saya.
Anggapan positif itu bagaimanapun meleset apabila Sara kemudian dilihat mula menunjukkan perubahan.
“Apabila tiada di rumah, saya memang sentiasa menghubunginya untuk bertanyakan khabar dan keadaan anak kami.
“Namun, Sara sering kali ingin menamatkan perbualan dengan segera seolah-olah cuba menyembunyikan sesuatu.
“Selain itu, saya menyedari hubungan intim kami juga bertukar dingin dan tidak seperti sebelumnya,” terangnya.
Pelik dengan senario itu, Fauzi ada bertanyakan isterinya, namun dimaklumkan hanya kepenatan mengemas rumah dan menguruskan anak mereka.
Apa yang meluluhkan hatinya, jelas Fauzi, apabila melihat banyak mesej dan gambar daripada lelaki lain yang berbaur lucah di telefon isterinya itu.
“Sara berdalih kononnya semua lelaki itu hanya rakan biasa yang dikenali menerusi media sosial,” ujarnya.
Bagi mendapatkan kepastian mengenai cerita isterinya itu, Fauzi berpura-pura memberi alasan bertugas di luar kawasan semata-mata untuk mengintip pergerakan isterinya.
Katanya, selepas dia keluar rumah, Sara didapati membawa anaknya ke sebuah hotel di pinggir ibu negara.
“Apabila saya mengetuk bilik yang dimasuki Sara itu, alangkah terkejutnya apabila mendapati dia bersama seorang lelaki tanpa seurat benang,” katanya.
Sebelum nekad menceraikan Sara, Fauzi sempat bertanyakan punca wanita itu sanggup bertindak sedemikian sehingga mengkhianati kepercayaannya.
“Dia hanya mengaku melakukannya kerana dahagakan hubungan intim dan mahu mendapatkan wang sendiri untuk simpanan masa depannya.
“Sara juga menggunakan anak kami sebagai ‘umpan’ bagi mengaburi perbuatan jijik itu selama lebih setahun,” katanya yang sedang berusaha mendapatkan hak
penjagaan anak selepas kedua-duanya sah bercerai.
Fauzi yang kini telah mendirikan rumah tangga dengan wanita pilihan keluarga menasihatkan suami isteri supaya sentiasa mengawasi aktiviti pasangan masing-masing.
Nota: Artikel ini ditulis bukan untuk mengaibkan mana-mana pihak, sebaliknya hanya untuk tujuan iktibar dan pengajaran semata-mata.
You must be logged in to post a comment.