GPMS kecam kenyataan provokasi UMANY
KUALA LUMPUR: Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) mengecam tindakan University of Malaya Association of New Youth (UMANY) yang mengeluarkan kenyataan melalui laman Facebook mereka mengenai kuasa Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam urusan politik negara.
Presidennya, Mohd Alif Anas Md Noor, berkata GPMS melihat bahawa tindakan itu provokasi melampau terhadap intitusi Raja Berpelembagaan di negara ini.
Katanya, ia seolah-olah menuduh Yang di-Pertuan Agong mencampuri hal ehwal politik negara, sedangkan titah Baginda adalah supaya parti politik di negara ini bekerjasama menjayakan sidang Parlimen akan datang dan meluluskan Belanjawan 2021 demi keperluan rakyat daripada matlamat politik.
“Titah Baginda juga dijunjung oleh ketua-ketua parti politik kerajaan mahupun pembangkang. Jadi UMANY sepatutnya sedar diri bahawa mereka tiada hak untuk bercakap bagi segelintir pihak dengan berselindung di bawah sebuah persatuan pelajar.
“UMANY adalah sebuah persatuan pelajar di universti terbaik di negara ini dan sepatutnya arif mengenai Baginda sebagai ketua negara,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Beliau berkata, sehubungan itu GPMS menuntut Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat dan mengambil tindakan terhadap UMANY di bawah Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimeda 1998 kerana menyebar kebencian terhadap Yang di-Pertuan Agong.
“Jika disabit kesalahan UMANY perlu diharamkan kerana mampu memecah belahkan perpaduan di negara ini.
“GPMS menjunjung tinggi kebijaksanaan Baginda untuk memastikan kestabilan dan ketertiban politik negara terjaga dalam situasi pandemik ini.
“Semoga Malaysia terus aman dan makmur di bawah pemerintahan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong melalui sistem Raja Berpelembagaan dan Demokrasi Berparlimen,” katanya.-BH
You must be logged in to post a comment.