Sokong Muhyiddin sehingga PRU15

Share

Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO membuat keputusan supaya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan setelah pandemik Covid-19 dapat dikawal memandangkan sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah sehingga pilihan raya itu.

Penganalisis politik daripada Universiti Sains Malaysia, Profesor Dr Sivamurugan Pandian berkata, UMNO merasakan gencatan politik hanya bersifat sementara apabila kerajaan pemerintah hanya memiliki majoriti nipis yang sentiasa terdedah kepada hubungan yang berubah-ubah.

“Disebabkan wujud pelbagai isu politik mutakhir ini, UMNO barangkali melihat mandat harus dikembalikan kepada rakyat, malah ini merupakan ketetapan UMNO sejak Mac lalu.

“UMNO juga tidak menyertai Perikatan Nasional (PN) tetapi hanya menyatakan sokongan kepada kerajaan PN kerana barangkali UMNO bertanggapan selepas menang beberapa siri Pilihan Raya Kecil (PRK) bersama Pas di bawah Muafakat Nasional (MN), ia boleh dianggap bersedia untuk PRU15.

“Jika dijadikan rujukan kepada siri kemenangan PRK, prestasi UMNO meningkat apatah lagi kerjasama dengan Pas turut menyumbang kepada prestasi tersebut,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Sivamurugan bagaimanapun berkata, UMNO perlu memperhalusi strategi mikro termasuk pemilihan calon, agihan kerusi, sabotaj dalaman dan hubungan cawangan, bahagian, negeri dan Pusat.

PRU15, dahulu begitu hampir, kini semakin jauh..

“Malah, UMNO perlu mempergiatkan jentera dengan pengundi baharu selain memastikan guna tenaga mereka dijaga kebajikannya.

“UMNO barangkali tidak ada masalah dengan kerusi yang kini dikuasainya dan Pas juga akan terus mengekalkan kerusi yang ada. Cuma UMNO perlu mencari jalan untuk menyelesaikan isu kerusi mereka yang keluar daripada UMNO dan sertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) serta kerusi yang telah dimenangi Bersatu pada PRU lalu,” katanya.

Sementara itu, penganalisis politik daripada Universiti Utara Malaysia (UUM), Md Shukri Shuib pula berpendapat, soal PRU dan jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) bukan satu perkara mendesak.

“Jangan terjerat dengan soal menuntut pelbagai jawatan termasuk hendak wujudkan jawatan TPM. Ketika ini ia tidak wajar. Belanjawan 2021 ini belanjawan ambulans, jadi beri laluan.

“Jangan jadikan Belanjawan 2021 sebagai manifestasi undi tidak percaya. Jika ini dilakukan, maka Parlimen dihuni oleh orang yang tidak profesional.

Muafakat Nasional bincang strategi pertahan PN hingga PRU15

“Semua orang politik dan pihak berkepentingan perlu menyumbangkan fikiran untuk menjana Belanjawan 2021 yang berdaya tahan. Jangan hanya sibuk hendak berpolitik,” katanya.

Beliau berkata, sudah tiba masanya parti politik dan ahli Parlimen blok kerajaan untuk sepakat berkhidmat kepada negara dan rakyat.

“Kita sudah melihat betapa ramai daripada kalangan wakil rakyat dilantik ke pelbagai jawatan Kabinet termasuk dalam sektor korporat dalam pelbagai jawatan.

“Saya fikir, sudah-sudahlah berdrama. Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pun sudah jadi kerajaan ambulans. Perlu diberikan laluan oleh semua pihak bagi menjayakan pengurusan dan agenda kerajaan ketika gugatan keselamatan kesihatan akibat penularan Covid-19.

“Berilah kerjasama, beri idea dan sumbang akal fikiran bagi menjana dasar. Saya fikir kepimpinan Kabinet dan Muhyiddin pun terbuka dalam hal menerima pandangan untuk dasar yang lebih baik,” katanya.

Tok Mat bakal cabar Zahid?

Leave a Reply