FELDA batal LLA, ambil alih 68 kilang sawit FGV

Pengerusi FELDA, Datuk Seri Idris Jusoh menerangkan kepada Pengerusi Pasukan Petugas Khas FELDA, Tan Sri Abdul Wahid Omar; Pengarah Besar FELDA, Datuk Amiruddin Abdul Satar (dua dari kanan) dan Ketua Peneroka FELDA Kebangsaan, Sulong Jamil Mohamed Shariff (kanan) mengenai aspirasi dan visi FELDA. - Foto NSTP/Aizuddin Saad
Pengerusi FELDA, Datuk Seri Idris Jusoh menerangkan kepada Pengerusi Pasukan Petugas Khas FELDA, Tan Sri Abdul Wahid Omar; Pengarah Besar FELDA, Datuk Amiruddin Abdul Satar (dua dari kanan) dan Ketua Peneroka FELDA Kebangsaan, Sulong Jamil Mohamed Shariff (kanan) mengenai aspirasi dan visi FELDA. – Foto NSTP/Aizuddin Saad

 

KUALA LUMPUR: Selain menamatkan Perjanjian Pajakan Tanah (LLA), FELDA akan turut mengambil alih kilang sawit milik FGV Holdings Bhd (FGV) bagi melengkapkan rantaian perniagaan, sekali gus mengukuhkan kembali kedudukan kewangan agensi itu.

Langkah itu yang bertujuan meningkatkan pendapatan teras daripada tanah FELDA, adalah antara enam perkara dicadangkan Pasukan Petugas Khas yang sudah dibentang dan mendapat kelulusan Kabinet pada 14 Oktober lalu.

 

Pengerusi Pasukan Petugas Khas FELDA, Tan Sri Abdul Wahid Omar. - Foto NSTP/Aizuddin Saad
Pengerusi Pasukan Petugas Khas FELDA, Tan Sri Abdul Wahid Omar. – Foto NSTP/Aizuddin Saad

 

Pengerusi pasukan petugas itu, Tan Sri Abdul Wahid Omar, berkata pengambilalihan kilang sawit FGV akan dilaksanakan bersama dengan pembatalan LLA membabitkan tanah seluas 351,000 hektar tanah yang dipajak kepada FGV.

“Susulan mendapat mandat kerajaan, FELDA akan menjalankan perbincangan bersama dengan FGV selepas ini. Ia bukan saja membabitkan aset ladang di bawah LLA, tetapi turut merangkumi kilang sawit.

“Kami mengharapkan perbincangan akan berjalan dengan lancar,” katanya selepas taklimat khas perkembangan terkini FELDA yang turut dihadiri Pengerusi FELDA, Datuk Seri Idris Jusoh dan Pengarah Besar FELDA, Datuk Amiruddin Abdul Satar di sini, hari ini.

FGV ketika ini mempunyai 68 kilang kelapa sawit di seluruh negara yang dikendalikan menerusi anak syarikatnya, FGV Palm Industries Sdn Bhd.

Syarikat itu dalam kenyataan sebelum ini telah menegaskan aset yang terbabit dalam LLA antara FELDA dan syarikat itu adalah 351,000 hektar ladang dan tidak termasuk kilang kelapa sawit miliknya.

FGV menjelaskan jika FELDA berhasrat memberi kilang sawitnya, ia harus berdasarkan ‘pembeli bersedia, penjual bersedia’ dan pada nilai pasaran semasa.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai nilai pampasan yang perlu dibayar untuk mengambil semula tanah dan kilang itu dan adakah akan menggunakan terbitan sukuk RM9.9 bilion, Abdul Wahid berkata, nilainya tidak seperti yang dinyatakan FGV sebelum ini.

Beliau berkata nilai pampasan LLA kurang daripada dinyatakan FGV iaitu antara RM3.5 bilion hingga RM4.3 bilion.

“FELDA akan membayar nilai yang kurang daripada diunjurkan FGV susulan penamatan LLA,” katanya tetapi tidak menyatakan nilai anggaran itu.

LLA merujuk kepada ladang-ladang milik FELDA seluas 350,733 hektar yang dipajakkan kepada FGV selama 99 tahun bermula 1 November 2011.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed menerusi kenyataan pada Rabu berkata penamatan LLA dan cadangan penerbitan sukuk oleh FELDA bernilai RM9.9 bilion untuk melaksanakan pelan pemulihan adalah antara cadangan yang sudah diluluskan oleh Kabinet.

Mengulas hasil terbitan sukuk dengan jaminan kerajaan itu, Abdul Wahid berkata, sebahagian besar akan digunakan untuk pembiayaan semula pinjaman dengan institusi kewangan komersial yang mana ketika ini berjumlah RM10.6 bilion serta sebagai modal kerja.

Cadangan pasukan petugas itu juga turut merangkumi rancangan penjualan aset dalam dan luar negara yang tidak mendatangkan pulangan mencukupi.

Mengulas isu itu, Idris pula berkata, aset hartanah FELDA di dalam negara dan luar negara selain beberapa hotel akan diteliti dari semasa ke semasa dari segi harga dan tawaran yang diterima.

Idris berkata, baru-baru ini FELDA menerima tawaran menjual aset hartanahnya di London, namun berikutan penularan COVID-19 mengganggu sektor hartanah dan menyaksikan penurunan harga hartanah di luar negara.

“Untuk melepaskan aset ini kita perlu melihat nilai yang sebaiknya. Seperti aset hartanah di London, FELDA menerima tawaran sebanyak 300 juta pound.

“Tapi kami berpendapat jika menunggu dalam tempoh beberapa tahun lagi, nilai aset ini akan meningkat kepada 500 juta pound. FELDA akan melepaskan aset-aset ini bila tiba masanya dengan harga yang sesuai,” katanya.

FELDA ada empat hartanah di London termasuk Grand Plaza Serviced Apartments dan Park City Grand Plaza Kensington.-BH

Pelabur ikuti rapat saham FGV

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker