Pelabur ikuti rapat saham FGV · MYKMU.NET

Pelabur ikuti rapat saham FGV

Share

KUALA LUMPUR: FGV Holdings Bhd, antara pengeluar minyak sawit terbesar dunia mungkin mengalami situasi sukar berikutan langkah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) menamatkan Perjanjian Pajakan Tanah (LLA) dengan kumpulan itu.

Susulan laporan mengenai penamatan LLA itu pada dua minggu lalu, FGV berkata ia masih belum menerima notis bertulis daripada FELDA mengenai penamatan LLA itu.

“Oleh kerana penamatan LLA sering dibicarakan, perniagaan dan operasi FGV telah bersedia untuk kemungkinan ini,” menurut pengeluar minyak sawit mentah terbesar negara itu.

Menurut FGV, jumlah pampasan yang dijangka perlu dibayar kepadanya susulan penamatan LLA adalah RM3.5 bilion hingga RM4.3 bilion berdasarkan penilaian dalaman yang akan berbeza bergantung kepada prestasi kewangan FGV bagi 2020 dan 2021 serta pelbagai faktor lain.

LLA berkenaan merujuk kepada ladang-ladang milik FELDA seluas 350,733 hektar yang dipajakkan kepada FGV selama 99 tahun bermula 1 November 2011.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed menerusi kenyataan pada Rabu berkata penamatan LLA dan cadangan penerbitan sukuk oleh Felda bernilai RM9.9 bilion untuk melaksanakan pelan pemulihan merupakan antara cadangan yang telah diluluskan oleh Kabinet.

Mengenai prestasi saham, saham FGV terus stabil walaupun Amerika Syarikat (AS) menyekat produknya pada masa ini.

Setakat ini, titik harga tertinggi adalah RM1.56 seunit iaitu pada awal tahun ini sebelum merosot kepada 72 sen pada Mac akibat penutupan ekonomi global bagi memerangi COVID-19.

Sepanjang bulan lalu, ia telah stabil sehingga melepasi RM1.00 walaupun perbincangan yang berterusan dengan AS mengenai sekatan produk itu.

Pada 10.02 pagi hari ini, saham FGV menambah satu sen kepada RM1.09, dengan 796,100 saham diniagakan.

-BERNAMA

Perniagaan, operasi FGV telah bersedia bagi penamatan LLA

Leave a Reply