Sehari bersama M. Daud Kilau, hati Che Pah tersentuh

Marhaba.. Ohooii hoii.. Kalau dah mata bertentang mata.. Hati di dalam bagai nak gila.
Itulah antara bait lirik lagu yang hingga kini tak luntur dek hujan tak lapuk dek panas.

Cek Mek Molek lagu killer penghibur tersohor ini. Tidak keterlaluan jika Che Pah katakan yang lagu ini pasti menjadi pilihan kala berkaraoke atau majlis perkahwinan dikalangan peminat beliau.

Gimik menukar sehingga tujuh pasang baju labuci setiap kali membuat persembahan sangat ditunggu peminat. Itu identiti beliau.

Niat Che Pah untuk pergi menziarahi Datuk M. Daud Kilau sudah tercetus sejak awal tahun ini lagi. Ia gerak Yang Maha Esa.

Hasrat itu Che Pah suarakan kepada sahabat baik yang juga youtuber popular Syed Yusof Wafa yang kini terkenal dengan saluran YouTube Wafa TV.

Entah kenapa hati Che Pah menggelitek hendak sangat bertemu dengan penyanyi kesukaan Che Pah ini.

Apatah lagi bila mendapat tahu yang Datuk sudah tidak berapa sihat dan pulang mendiami rumahnya di Bagan Datuh, Perak.

Akhirnya, Alhamdulillah keinginan Che Pah ini dimakbulkan juga Yang Maha Kuasa. Bersama dua lagi sahabat baik Che Pah iaitu Yasmeen Yusof yang juga merupakan pengasas Sado Home Spa dan Umri Hamid orang kuat MAS, kami bersama memandu menuju ke Bagan Datuk.

Perjalanan kami pagi itu berjalan lancar. Tiada trafik jem. Che Pah menggunakan jalan lama dari Kuala Selangor.

Segar mata melihat deretan pepohon menghijau serta rumah tradisional Selangor di sepanjang kiri dan kanan jalan.

Ini kelebihannya jika kita menggunakan jalan lama. Meriah pemandangan. Selain itu kita juga boleh mempelajari ciri reka bentuk rumah tradisional di setiap negeri.

Jika menggunakan lebuh raya, maka mata cepat mengantuk. Tiada apa yang boleh dilihat. Jalan lurus. Tiada belok belok. Mata pun kuyu.

Sesampai di Bagan Datuk, Che Pah gunakan waze untuk mendapatkan kepastian arah menuju ke rumah Datuk.

Tak sabar rasanya hendak bertemu dengan beliau. Che Pah sangat minat dengan beliau selain Tan Sri S. M. Salim dan Datuk Ahmad Jais.

Bagi Che Pah, penyanyi dulu punya keistimewaan tersendiri. Setiap dari mereka punya kekuatan vokal yang unik. Masing masing punya karakter.

pah2
Datuk M. Daud Kilau

Jadi apabila kita dengar lagu mereka di corong radio, kita dengan mudah dapat meneka siapa empunya suara.

Bukan seperti penyanyi zaman sekarang. Maaf Che Pah cakap sudahlah menjadi penyanyi bidan terjun, suara pun ke lautan nan sepi.

Sesampai di Bagan Datuk kami berhenti makan tengahari. Tuan kedai bertanya ke mana kah arah tujuan kami. Kami mengatakan yang hendak menziarahi Datuk M. Daud Kilau.

Tuan kedai seolah sudah dapat meneka. Mungkin dari cara kami berpakaian yang nampak seperti orang luar.

Mungkin juga kerana sudah ramai pelawat dari ibu kota yang bertandang ke Bagan Datuh untuk bertemu Datuk.

Selesai makan, kami mengatur langkah semula. Tak sampai sepuluh minit, kami bertiga sudah terpacak di hadapan mahligai Datuk M. Daud Kilau.

Cantik rumah Datuk. Kami disambut anak lelaki Datuk yang meminta kami duduk dahulu sementara beliau memberitahu ayahnya berkenaan kedatangan kami.

Sambil duduk, Che Pah meninjau persekitaran rumah Datuk. Rupanya Datuk ada membuka sebuah homestay yang terletak berdepan dengan rumah baru beliau.

Di bahagian belakang pula tersergam sebuah rumah tradisional berseni bina Perak. Khabarnya itu rumah lama Datuk.

Tak berapa lama kemudian, kami dipersilakan masuk. Datuk M. Daud Kilau kelihatan sedang berbaring. Beliau mempersilakan kami duduk.

Che Pah pilih untuk duduk di katil Datuk. Lebih mesra. Sambil bersalam, kami bertanya khabar antara satu sama lain.

Seperti biasa, Datuk mula becok bertanya. Che Pah memperkenalkan diri lantas cuba mengingatkan Datuk akan pertemuan kami dulu.

Sebenarnya Che Pah dan Datuk sudah agak lama tak bertemu. Lebih 15 tahun. Semasa Che Pah masih bertugas sebagai wartawan , Datuk antara penyanyi yang wajib membarisi senarai artis yang bakal Che Pah undang untuk sesebuah tujuan promosi mahupun majlis.

Semasa di Kumpulan Utusan, Che Pah biasanya akan diserahkan tugas untuk menjaga artis tertentu seperti Datuk Sharifah Aini termasuk Datuk M. Daud Kilau.

Tugas Che Pah ialah menyambut ketibaan mereka. Membawa mereka masuk ke bilik menunggu. Duduk dan melayan makan minum mereka sementara menunggu giliran mereka naik ke pentas.

Che Pah seronok dengan tugasan sebegitu. Ia memberi peluang kepada Che Pah untuk berkenalan lebih rapat dengan artis tersebut. Maklum masa itu kita masih muda.

Sebenarnya sudah jadi resam diri Che Pah sendiri juga. Che Pah suka duduk berbual dan melayan orang lama. Che Pah suka mengorek rahsia mereka.

Orang lama banyak petua. Mereka punya banyak pengalaman hidup. Mereka merasai masinnya garam lebih dulu dari kita.

Jadi banyak panduan hidup yang kita boleh raih dari mereka. Che Pah suka tanya petua untuk sihat, panjang umur dan yang lebih penting petua untuk awet muda dan kekal cantik.

Selain di Kumpulan Utusan, semasa Che Pah berkhidmat sebagai Penolong Editor di majalah Pesona Pengantin terbitan Kumpulan Karangkraf, Datuk M. Daud Kilau menjadi artis undangan terhormat bagi menghiburkan tetamu pertandingan Andaman seluruh Malaysia yang majalah Che Pah anjurkan.

Che Pah hanya panggil tiga orang penyanyi sahaja. Salah seorangnya ialah Datuk. Sekali lagi Che Pah sibuk melayan Datuk di bilik menunggu.

Waktu itu Datuk tidak mahu keluar dari belakang pentas. Datuk buat gimik. Datuk keluar dari pintu bilik menunggu lantas menyanyi lagu hit beliau Cek Mek Molek sambil melintasi meja tetamu.

Apalagi, kala mendengarkan suara Datuk, satu dewan hingar-bingar dengan jeritan tetamu. Semua tetamu berdiri lantas sama sama menari dengan Datuk.

Menakjubkan sungguh. Seorang penyanyi lama masih mampu menggegarkan sebuah ballroom hotel lima bintang. Aura Datuk sangat hebat. Kalah penyanyi muda.

Majlis petang itu bertukar ceria. Tetamu meminta Datuk menambah satu lagu lagi. Beliau dengan berbesar hati menurut permintaan tetamu.

Che Pah pun puas hati. Che Pah pun apalagi, sama bergelek dengan Datuk. Bukan selalu dapat mendengar secara live suara emas ini.

Itulah dia Datuk M. Daud Kilau. Kini beliau berada di depan mata Che Pah. Walau sedang uzur namun budi bahasa beliau tidak boleh dijual beli.

Beliau sibuk mempelawa kami makan. Makan dengan benar ya.. Itu kata Datuk. Kami dihidang kan dengan laksa Penang dan nasi lemak kuning. Kata Datuk itu resipi beliau.

Usai makan, sahabat Che Pah iaitu Yasmeen dan Umri diberi keizinan oleh Datuk untuk melihat serta cuba menggayakan jubah labuci Datuk.

Serasakan ia sebuah penghargaan besar buat mereka. Lepas sehelai disambung sehelai lagi mereka bergaya di depan kamera.

Datuk M. Daud Kilau yang Che Pah kenal masih tidak berubah. Walau sudah dihambat usia namun senyuman beliau masih manis. Tubuh masih tegap walau sering sakit.

Suara beliau masih mantap. Keinginan untuk menyanyi serta mengenakan baju labuci merelip hasil tangan beliau sendiri masih membara dijiwa.

Ini contoh anak seni asli. Mereka bukan menghibur kerana wang. Seni adalah jiwa mereka. Seni sudah meresap lalu mendarah daging dalam tubuh mereka.

Andai diberi peluang, Datuk masih mahu menghiburkan peminat kata beliau. Namun beliau harus akur dengan faktor usia. Apa pun hidup beliau tidak sepi.

Ramai kawan dalam industri datang melawat. Bagan Datuk seolah berseri dek kilauan bintang yang seorang ini. – MalaysiaGazette

Zahid ziarah M. Daud Kilau

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker