Penunggang P-Hailing Perlu Patuh Garis Panduan Keselamatan

KUALA LUMPUR (Bernama) — “Tunggang motosikal ikut sesuka hati. Dahlah bawa laju, mencelah pulak sana sini, belok pun sesuka hati. Kalau lampu isyarat merah, pakai langgar saja, tak berhenti. “

“Macam nak luruh jantung tengok budak-budak tu bawak motosikal. Tak sayang nyawa ke? Kalau ‘mati katak’ (mati sia-sia) keluarga juga susah. Mestilah risau, mereka ini bukan sahaja membahayakan diri tetapi juga pengguna jalan raya lain.”

Itu antara keluhan mereka yang saya ajukan soalan mengenai sesetengah sikap penunggang perkhidmatan penghantaran barangan dan makanan (p-hailing), tidak mengira, sama ada mereka daripada syarikat tertentu ataupun yang bekerja sendiri. Boleh dikatakan, majoritinya menunggang motosikal dalam keadaan sangat membahayakan.

Malah, isu pelanggaran peraturan jalan raya dalam kalangan pekerja sektor ini juga bukanlah asing bahkan ia turut mendapat perhatian sewajarnya daripada pihak berkuasa yang sudah banyak kali menegur akan sikap tidak berhemah ini.

 


Infografik MSOSH.

 

Ini kerana, penunggangan sedemikian rupa, bukan sahaja merisikokan mereka kepada keberangkalian tinggi terlibat dalam kemalangan, namun boleh juga melibatkan pengguna jalan raya yang lain.

Berdasarkan hasil temu ramah Bernama dengan beberapa individu, rata-rata mereka beranggapan golongan pekerja p-hailing terlalu “mengejar trip penghantaran makanan, barangan” ke sesuatu destinasi demi mendapatkan komisyen atau upah lebih yang dikatakan ‘lumayan’ buat mereka.

Akan tetapi, apakah benar persepsi yang sedemikian? Dan, adakah wajar bagi pekerja ini mempertaruhkan nyawa mereka mahupun pada masa yang sama turut membahayakan pengguna jalan raya lain hanya semata-mata ingin mendapatkan pendapatan ‘lumayan’ seperti yang didakwa itu?

 

KEMALANGAN TINGGI

 


Ahmad Nazirul Azrie Ahmad Noh, Penunggang P-Hailing.

 

Bagi Ahmad Nazirul Azrie Ahmad Noh, 22, yang sudah setahun bekerja sebagai p-hailing untuk sebuah syarikat aplikasi perkhidmatan makanan, beliau menafikan pendapatan ‘lumayan’ antara faktor utama mengapa ada segelintirnya gagal mematuhi undang-undang jalan raya yang ditetapkan.

Menurut beliau, kebanyakan penunggang p-hailing terpaksa bergegas ke lokasi penghantaran kerana antaranya, sikap pelanggan yang tidak sabar mahupun merungut inginkan makanan yang mereka tempah, segera sampai tanpa mengira sebarang alasan sekali pun.

Sekiranya lambat, respons negatif akan diberikan kepada mereka sekali gus menjejaskan penilaian kadar gaji upah penunggang p-hailing, selain turut sama ‘direhatkan’ oleh pengurusan syarikat penyedia perkhidmatan untuk beberapa minit. Dalam tempoh itu, pekerja itu tidak akan mendapat sebarang pesanan baharu kerana kelewatan tersebut.

“Ramai yang ingat gaji kami ini lumayan. Dulu mungkinlah betul, tetapi sekarang tidak lagi kerana lambakan penunggang p-hailing menyebabkan kami terpaksa berbahagi trip penghantaran.

“Cuma, saya boleh nyatakan pendapatan diterima agak menarik, bukan lumayan. Ia setimpal dengan apa kami dapat kerana bekerja lebih 12 jam sehari.

“Biarpun begitu, pekerjaan ini sangat bahaya dan berisiko tinggi. Kalau pekerja lain, pejabat mereka dalam bangunan tetapi pejabat kami di atas jalan raya. Dan motosikal yang kami guna itu boleh diibaratkan seperti komputer bagi mereka yang bekerja di pejabat.

“Sepanjang masa berada di atas jalan raya, risiko kemalangan itu memang tinggi dan saya pun pernah mengalami kemalangan sehingga patah tulang kaki kiri (tibia dan fibula) serta retak di bahagian kiri pelvis dan perlu dimasukkan besi,” katanya.

 

MEMBIMBANGKAN

Hakikatnya, berita kemalangan membabitkan golongan pekerjaan ini sehingga mengakibatkan kecederaan parah, kecacatan kekal mahupun meninggal dunia sudah banyak kali dipaparkan media sama ada menerusi medium elektronik mahupun cetak.

Malah, pada pertengahan Oktober tahun ini (2020), dilaporkan seorang penghantar makanan maut selepas motosikal yang ditunggangnya dilanggar lari kenderaan lain di Kilometer 88.3, Lebuhraya Utara Selatan arah selatan di Yong Peng, Johor.

Selain itu, pada April lepas (2020), seorang penghantar makanan yang baharu memenuhi tempahan pelanggannya maut apabila motosikal dinaikinya diseret sejauh kira-kira 10 meter seelpas berlanggar dengan sebuah lori di simpang empat Taman Bidara Permai, Pengkalan Balak, Masjid Tanah.

Ini antara beberapa kes kematian membabitkan penunggang p-hailing. Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) amat bimbang dengan kadar kemalangan jalan raya yang melibatkan penghantar makanan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan 18 Mac lepas.

Berdasarkan data Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dipetik dalam satu laporan media, 150 kemalangan jalan raya dengan 4 kematian direkodkan membabitkan penunggang p-hailing sepanjang tempoh tiga bulan sejak PKP.

 


Antara tugasan berisiko yang dikaitkan dengan penunggang penghantaran dan perkhidmatan bermotosikal. MSOSH

 

Ketua Pengarah Miros, Dr Khairil Anwar Abu Kassim, dipetik berkata Miros akan mengadakan perbincangan dengan pelbagai syarikat aplikasi penghantaran makanan berhubung kadar tinggi kemalangan membabitkan penunggang p-hailing.

Ini juga berdasarkan kajian Miros yang mendapati kadar tinggi pelanggaran kesalahan trafik dalam kalangan pekerja sektor terbabit

Miros dalam satu laporan media menyatakan hasil pemantauan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) membabitkan 11 jalan utama di Kuala Lumpur antara 4 hingga 7 Ogos lalu, mendapati kira-kira 64 peratus penunggang p-hailing yang menghantar makanan dikesan melakukan kesalahan trafik pada waktu puncak antara pukul 11 pagi hingga 2 petang.

“Kami akan menekankan kepada pengendali, keperluan menetapkan garis panduan dan latihan operasi selamat untuk penghantar makanan,” kata Khairil Anwar sambil turut dipetik berkata golongan ini tidak sewajarnya merisikokan nyawa sendiri untuk menghantar makanan.

 

PANDANG RINGAN?

 


Norwani Ahmat, Pengamal keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP).

 

Mengulas mengenai polemik keselamatan kerjaya ini, pengamal keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP), Norwani Ahmat berkata permasalahan ini tidak boleh dipandang ringan berikutan pekerjaan p-hailing yang merupakan antara satu cabang pekerjaan ekonomi gig ini mula menjadi tumpuan sejak PKP.

Beliau yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam bidang KKP termasuklah pernah berkhidmat di Proton Holdings Bhd sebagai Ketua Jabatan Keselamatan, Kesihatan dan Persekitaran sekitar tahun 2018 berkata , kerajaan perlu memandang serius akan senario yang tidak selamat ini.

Ini kerana sekiranya tidak dibendung boleh menyumbang kepada peningkatan jumlah kemalangan membabitkan golongan tersebut.

“Kita sedia maklum peningkatan p-hailing bertambah sejak PKP kerana masyarakat tidak boleh keluar rumah sesuka hati untuk membeli barang. Banyak juga restoran dan pasar raya yang menggunakan perkhidmatan ini, sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan p-hailing kepada anak muda termasuklah mereka yang hilang pekerjaan.

“Situasi ini sangat positif, peluang pekerjaan untuk anak muda tetapi bagaimana dalam jangka masa panjang sekiranya kemalangan melibatkan mereka tinggi?” katanya.

Memandangkan pekerjaan ini semakin ramai diceburi generasi muda, Norwani berkata perlu diberi perhatian kepada aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan, khususnya majikan untuk memastikan golongan tersebut mendapat latihan penunggangan berhemah bagi menjamin keselamatan mereka di jalan raya.

 


Garis Panduan Keselamatan Pekerja Penghantaran Bermotosikal. MSOSH

 

“Ada syarikat besar yang menghantar penunggang p-hailing mereka untuk mendapatkan latihan penunggangan selamat yang dikendalikan oleh Miros iaitu Program Sokongan Keselamatan Perjalanan (CSSP).

“Program kerjasama dengan Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial) ini mengajar mereka mengenai aspek penunggangan selamat, penyelenggaraan kenderaan, pengenalpastian risiko dan sebagainya yang lebih efektif berbanding apa dipelajari semasa mendapatkan lesen motor, ” katanya.

Beliau berkata, semua syarikat pengendali perlu memberikan latihan sedemikian kepada pekerja p-hailing , memandangkan ramai anak muda terlibat pekerjaan ini.

Menurut beliau, selain bimbang dengan kadar kematian membabitkan golongan tersebut, beberapa kajian sebelum ini juga mendapati majoriti kemalangan motosikal turut melibatkan kecederaan kepala (30 peratus), kaki (25 peratus), tangan (9 peratus) dan dada (4 peratus).

“Apa akan berlaku pada masa akan datang sekiranya begitu ramai belia mengalami kecacatan kekal mahupun meninggal. Bukankah ini merugikan negara?

“Disebabkan itu, amat penting agensi yang bertanggungjawab berbincang dengan pengendali perkhidmatan tersebut bagi memastikan keselamatan penunggang p-hailing dilindungi,” katanya.

 

TEKANAN

Sementara itu, Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH) menekankan, operator penyedia perkhidmatan penghantaran bertanggungjawab terhadap kebajikan dan keselamatan penunggang p-hailing mereka.

 


Mohamad Aliasman Morshidi, Timbalan Presiden Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH).

 

Menurut Timbalan Presiden MSOSH, Mohamad Aliasman Morshidi,  berdasarkan maklumat yang diterima MSOSH daripada Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia, hubungan antara operator penyedia perkhidmatan dengan penunggang p-hailing tidak didefinisikan dengan jelas daripada segi perundangan, berkaitan kontrak antara majikan dan pekerja.

“MSOSH difahamkan, penunggang p-hailing tidak dikategorikan sebagai pekerja manakala operator penyedia perkhidmatan tersebut tidak dikategorikan sebagai majikan di dalam definisi ekonomi gig serta undang-undang sedia ada.

“Perkara ini mesti dikaji lebih lanjut oleh pihak kerajaan berkaitan pendekatan ekonomi gig di mana ia masih lagi baharu di Malaysia. Biarpun begitu, tanggungjawab keselamatan dan kesihatan pekerja di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) 1994 jelas menerangkan tanggungjawab majikan dan pekerja.

“Tetapi, undang-undang sedia ada tidak melindungi hak penunggang p-hailing dengan jelas dan ini boleh mendatangkan bahaya dan ketiadakadilan kepada mereka,” katanya.

Menurut beliau, kontrak antara majikan dengan pekerja p-hailing agak longgar dan tidak jelas misalnya pencapaian kualiti yang digunakan adalah bersandarkan kecepatan penghantaran makanan dipesan dan bukannya keselamatan dititikberatkan.

Faktor tersebut secara tidak langsung memberi tekanan kepada penunggang p-hailing untuk mencapai kualiti ditetapkan syarikat.

“Semua pihak perlu memainkan peranan dalam membantu mengurangkan kemalangan jalan raya dalam kalangan pekerja ini. Menyalahkan mereka semata-mata atas kemalangan jalan raya adalah tidak adil tanpa memahami mengapa mereka sanggup melanggar peraturan jalan raya demi untuk mencari rezeki halal buat keluarga,” katanya.

 

GARIS PANDUAN

Justeru, MSOSH tampil dengan Garis Panduan Keselamatan Pekerja Penghantaran Bermotosikal  khusus untuk semua pekerjaan yang melibatkan kenderaan tersebut kerana difahamkan sebelum ini negara belum lagi memiliki sebarang kerangka keselamatan bagi mengawal kerjaya bagi penunggang bermotosikal ini.

Projek ini yang dimulakan pada  Nov 2018, dilancarkan pada Julai lepas (2020) turut membabitkan kerjasama beberapa agensi kerajaan seperti Perkeso, Miros, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) serta Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR).

Garis panduan ini bukan hanya tertumpu kepada pekerjaan p-hailing tetapi meliputi semua kerjaya yang menjadikan motosikal sebagai medium utama pekerjaan mereka seperti peronda lebuh raya, penghantar surat khabar dan sebagainya.

“Idea membangunkan garis panduan ini dibangkitkan oleh salah seorang ahli jawatankuasa pengurusan MSOSH, Norwani Ahmat pada 2018, memandangkan kadar kemalangan motor agak tinggi dan tiada garis panduan khusus untuk mereka yang bekerja menggunakan motorsikal.

“Cadangan ini dibentangkan kepada Majlis Negara Bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan  (MNKKP) dan mendapat lampu hijau daripada MNKKP.

‘Matlamat garis panduan ini adalah untuk kemudahan industri yang berkaitan khususnya pekerja yang menggunakan motosikal di tempat kerja mereka,” katanya.

Beliau turut menambah garis panduan itu merangkumi empat aspek penting iaitu tanggungjawab majikan, pengurusan penunggang (rekod kesihatan, kemahiran), pengurusan kenderaan serta penilaian risiko ketika bertugas di jalan raya.

“Harapan MSOSH adalah memastikan garis panduan ini diterima oleh pihak kementerian berkenaan sebagai antara satu panduan tambahan khas kepada penunggang p-hailing selain daripada undang-undang atau garis panduan sedia ada seperti Tataamalan Industri Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan Bagi Aktiviti Pengangkutan Jalan 2010,” katanya.

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA

Aksi ‘Gila’ penunggang basikal berkayuh di belakang lori ‘menyeramkan’ netizen [ VIDEO ]

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker