Covid-19 : Semua sekolah dan institusi pengajian di Johor Bahru ditutup

Share

Kementerian Pendidikan memaklumkan penutupan sejumlah institusi pendidikan di daerah Johor Bahru, Johor bermula 1 Nov hingga 14 Nov ini.

Dalam satu kenyataan, kementerian itu berkata, penutupan itu membabitkan 376 institusi pendidikan merangkumi sekolah rendah dan menengah, institusi pendidikan guru serta sekolah swasta yang berdaftar dengan KPM.

“Sekolah dan institusi yang mempunyai asrama juga ditutup. Ibu bapa atau penjaga perlu mengambil murid atau pelajar yang tinggal di asrama berkenaan untuk pulang.

“Bagaimanapun, murid atau pelajar yang menunggu untuk diambil ibu bapa serta murid atau pelajar yang ingin terus kekal berada di asrama sekolah dan institusi berkaitan sepanjang tempoh penutupan akan berada di bawah penjagaan warden asrama,” menurut kenyataan itu.

KPM berkata, keperluan makan dan minum murid serta pelajar sepanjang tempoh itu akan disediakan oleh pihak sekolah dan institusi berkenaan.

“Bagi murid yang perlu menduduki peperiksaan antarabangsa seperti yang dijadualkan sepanjang tempoh penutupan institusi pendidikan, mereka hendaklah mendapatkan surat daripada sekolah masing-masing untuk menghadiri peperiksaan.”

Keputusan itu selaras dengan perutusan khas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada 6 Okt lalu berhubung keputusan kerajaan menutup sekolah di kawasan yang disahkan zon merah oleh Kementerian Kesihatan.

Zon merah merujuk kepada kawasan yang mempunyai lebih 40 kes aktif Covid-19. FMT

Semua sekolah di zon merah ditutup

Leave a Reply