Penjaja Pantai Nami sebak hanya peroleh RM15

BACHOK – Lebih 20 penjaja makanan di lokasi pelancongan tanaman pokok rhu di Pantai Nami, di sini sebak mengenang nasib masing-masing kerana mendakwa memperoleh hasil jualan harian hanya sekitar RM10 hingga RM15, sejak dua minggu lalu.

Kemerosotan pendapatan hampir 10 kali ganda dialami penjaja makanan di Pantai Senak itu berlaku berikutan kedudukan tapak gerai baharu yang lebih jauh daripada tumpuan pengunjung berbanding tapak asal di kawasan tanaman pokok rhu di pantai berkenaan.


Seorang peniaga, Hazmi Awang, 32, berkata, dia yang menjual ais krim menggunakan ‘food truck’ hanya memperoleh hasil jualan RM10 sehari pada cuti hujung minggu lalu berbanding memperoleh keuntungan sehingga RM200 sebelum ini.

Katanya, kedudukan baharu itu lebih jauh kira-kira 500 meter dari kawasan tanaman pokok rhu yang menjadi lokasi tumpuan pengunjung selain memerlukan orang ramai untuk berjalan lebih jauh keluar dari kawasan berkenaan jika mahu mendapatkan ais krim dijual Hazmi.

“Sebelum ini saya letakkan ‘food truck ini’ di kawasan berhampiran tanaman pokok rhu tetapi pihak berkuasa tidak lagi membenarkan kenderaan bermotor untuk masuk ke lokasi itu menyebabkan kami berniaga lebih jauh sejak dua minggu lalu.

“Pihak berkuasa tempatan mendirikan papan tanda melarang kenderaan bermotor memasuki kawasan pokok rhu kerana bimbang merosakkan tanaman itu, namun alasan ini dirasakan seperti tidak masuk akal kerana kami hanya berniaga dan tidak menyebabkan kerosakan pada tanaman rhu,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Hazmi berkata, dia yang pada asalnya bekerja sebagai jurugambar pengantin terjejas kerana hilang punca pendapatan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan bagi mencegah penularan koronavirus (Covid-19) bermula pada 18 Mac lalu.

“Apabila PKP dilaksanakan, orang ramai tidak boleh mengadakan majlis maka tempahan jurugambar juga dibatalkan mengakibatkan saya hilang punca pendapatan.

“Sekarang kalau ada tempahan pun tidak lebih tiga majlis dan jumlah tidak mampu untuk menampung keseluruhan kos kehidupan menyebabkan saya bertukar kerja dengan cuba berniaga ais krim tetapi kesukaran begini pula yang datang,” katanya.

Seorang lagi peniaga, Rohana Hamzah, 44, berkata, dia berasa terlalu sebak apabila memperoleh hasil jualan kerabu mi segera hanya RM15 ketika berniaga di pantai itu pada Jumaat lalu.


Papan tanda di Pantai Nami Bachok melarang kenderaan bermotor memasuki lokasi itu.

“Saya ada dua anak berusia 20 dan 14 tahun yang masih belajar dan memerlukan perbelanjaan yang tinggi manakala suami pula bekerja sebagai buruh binaan dengan pendapatan tidak menentu lebih-lebih lagi ketika penularan Covid-19 yang masih belum reda ini.

“Saya berniaga hanya pada hujung minggu, Jumaat dan Sabtu serta hari cuti umum kerana pada hari lain tidak ada pengunjung yang datang.

“Jika hanya dapat RM15, bagaimana hendak menjelaskan sewa rumah RM250 sebulan dan kos elektrik RM100 serta kos makan minum,” katanya.

Sehubungan itu, seorang lagi peniaga, Wan Nor Fazlina Wan Musa, 24, berharap pihak berkuasa dapat mempertimbangkan untuk memberi kebenaran kepada peniaga bagi membawa masuk kenderaan dan berniaga di kawasan pokok rhu.

“Kehidupan saya menjadi sukar selepas hilang pekerjaan kerana kilang tempat saya bekerja terpaksa ditutup akibat terjejas kesan daripada Covid-19.

“Saya berharap pihak berwajib boleh membantu kami dengan memberi sedikit kelonggaran untuk masuk ke kawasan pokok rhu dan berniaga di lokasi itu,” katanya.

Sementara itu, Sinar Harian menghubungi pegawai dari Majlis Daerah Bachok yang sudah sedia maklum berhubung perkara tersebut dan akan mengajukan ke pada pihak atasan untuk tindakan lanjut. Sinar

Semua penjaja Jalan Pantai diarah hentikan perniagaan oleh DBKL

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker