Erdogan khalifah tidak rasmi · MYKMU.NET

Erdogan khalifah tidak rasmi

Share

RAMAI yang kurang sedar bahawa saat ini umat Islam memiliki seorang pemimpin berstatus ‘khalifah tidak rasmi’ yang berjaya mengimbangi keangkuhan material, ketenteraan dan ideologi Barat.

Pemimpin itu berjaya mengimbangi antara kuasa ketenteraan Amerika Syarikat (AS) dan Rusia, menangani sekatan ekonomi AS, memupuk perjanjian perdagangan bebas sesama negara Islam (termasuk Malaysia), mengusahakan kestabilan Syria dan Libya serta memperjuangkan pembebasan Palestin daripada Zionis.

Terkini, pemimpin itu kembali terkehadapan mempertahankan kemuliaan junjungan besar Nabi Muhammad SAW daripada penghinaan berterusan pemimpin sekular Perancis, Emmanuel Macron. Pemimpin Islamis itu ialah Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan.

Selepas runtuhnya Khilafah Uthmaniyyah hampir 100 tahun lalu, umat Islam di seluruh dunia ibarat anak ayam kehilangan ibu.

Walaupun dikurniakan kekayaan sumber, populasi dan wilayah sebegitu luas, umat Islam berterusan menjadi hamba imperialis secara bergilir-gilir, menjadi hamba Portugis, Perancis, British, Belanda, hamba ideologi komunis Soviet dan hari ini majoritinya diperhambakan hegemoni AS.

Maruah dan wilayah umat Islam dipijak dengan dahsyat sekali oleh para imperialis – hingga ke tahap sebaha-gian umat Islam sendiri turut berasa malu dan hina dengan Islam, al-Quran, sunnah dan alim ulama.

Dalam tempoh ketiadaan khalifah, kiblat pertama umat Islam di Masjid al-Aqsa, Baitulmaqdis Palestin telah dijajah Yahudi Zionis. Wilayah dan hasil bumi umat Islam pula diagih-agihkan sesama imperialis dengan bantuan tali barut rejim tempatan dalam kala-ngan umat Islam sendiri yang kenyang dengan habuan duniawi yang sedikit.

Pandangan alam Islam diganti pandangan alam sekular yang didominasi material tanpa pertimbangan dosa pahala. Akibatnya, kekuasaan sistem kewangan AS dengan ‘petrodollar’ yang menggantikan sistem tambatan nilai wang dengan nilai emas Bretton Woods menyaksikan majoriti pemimpin dunia Islam pasca-Khilafah ibarat lembu kenyang.

Berjuang

Hasil persekongkolan mereka dengan pelaburan sistem riba ‘petrodollar’ – diperkukuhkan dengan sokongan politik dan ketenteraan Barat meskipun rekod hak asasi manusia mereka cukup buruk – pemimpin umat Islam ini memekakkan telinga dan membutakan mata terhadap penjajahan sistematik Zionis dan juga penghinaan berterusan terhadap agama Islam termasuklah kepada imej Rasulullah SAW.

Namun, hari ini Erdogan menebus kembali ‘dosa-dosa’ pemimpin umat Islam pasca-Khilafah. Tidak hanya be-retorik, Presiden Turki itu bertindak dengan sebenar-benarnya melalui kuasa ekonomi, politik dan ketenteraan. Di sebalik segala kekangan dalam sistem sekular Turki warisan Mustafa Kamal Attaturk, ditambah pula dengan hegemoni global AS pasca-Perang Dingin, Erdogan dengan ijtihad politik berhasil menterjemahkan visi Islamis dalam dasar luar Turki sejak tahun 2003.

Beliau menempelak Perdana Menteri Israel pada Forum Ekonomi Dunia, tidak henti-henti memperjuangkan nasib Palestin di PBB, membangunkan Iraq pasca-Bush, mengusahakan kestabilan politik Libya, Syria dan terkini di Cyprus Utara dan Azerbaijan.

Status khalifah tidak rasmi Erdogan turut diterjemah dalam dimensi sosio-budaya. Jika beberapa bulan lalu Erdogan berjaya mengembalikan semula status tapak bersejarah Hagia Sophia di Istanbul sebagai masjid, terkini beliau tidak berdiam diri dengan sikap hipokrit Macron. Presiden Turki itu mengecam Presiden Perancis sebagai ‘memerlukan rawatan mental’ atas sikap permusuhannya terhadap Islam. Malah, Erdogan juga menggerakkan usaha memboikot produk Perancis.

Hari ini, kita setidak-tidaknya mempunyai ‘suara’ khalifah tidak rasmi yang berani memperjuangkan kepentingan strategik dan maruah umat Islam.

Sama seperti Salahuddin al-Ayubi yang tidak meminta-minta untuk diiktiraf sebagai khalifah umat Islam meskipun berjaya membebaskan Baitulmaqdis daripada penjajahan Tentera Salib, begitulah juga sikap Erdogan yang kita saksikan hari ini.

* Abdul Muein Abadi ialah Penyelidik PhD di Faculty of Governance and Global Affairs, Leiden University, Belanda-SH

Erdogan ubah sebuah lagi bekas gereja menjadi masjid di Turki

Leave a Reply