Ibrah Maulid Nabi

Pada 12 Rabiul Awal sekitar 1450 tahun dahulu, lahirlah junjungan besar Nabi Muhamad SAW, yang kemudiannya dilantik sebagai Rasul memimpin umat manusia ke jalan kebenaran.

Ulang tahun kelahiran ini disambut saban tahun oleh umat Islam seluruh dunia termasuk Malaysia, sebagai mengenang jasa dan pengorbanan Baginda.

Selain memperingati jasa Junjungan Besar, sambutan Maulid Nabi ini juga sebagai medan untuk mengambil ibrah daripada perjuangan panjang pesuruh Allah ini membawa sinar rahmah ke seluruh alam.

Ini bertepatan dengan penegasan oleh Allah SWT yang bermaksud bahawa tidaklah diutus Nabi Muhamad itu kecuali untuk membawa rahmah ke seluruh pelusuk alam (al-Quran, 21:107).

Dalam konteks negara kita, Maulid Nabi lazimnya disambut dengan meriah saban tahun, pelbagai acara diatur oleh kerajaan, swasta serta pelbagai pihak yang lain.

Berbanding tahun-tahun sebelumnya, Maulid Nabi tahun ini disambut dalam suasana berbeza apabila negara suram dengan pelbagai isu yang mencengkam dan membelenggu.

Kita menyambut ulang tahun kelahiran nabi pada tahun ini sewaktu negara sedang sedang bergelut dengan wabak penyakit yang dibawa oleh pandemik COVID-19.

Wabak ini menguji kita ke tahap tertinggi, menghimpit kita ke dinding, menjadikan kehidupan begitu sukar apabila ekonomi dan pendapatan rakyat terjejas dengan teruk.

Ramai yang hilang pekerjaan, menghitung detik-detik mendatang dengan kebimbangan yang memuncak, terutamanya memikirkan apa yang ingin disuap ke mulut anak-anak yang menanti di rumah.

Tidak cukup dengan isu kesihatan awam dan ekonomi yang meruncing, kita juga menyambut Maulidur Rasul tahun ini sewaktu isu perpaduan dalam negara berada pada tahap menyedihkan.

Tonggak utama sebuah negara bangsa merdeka adalah perpaduan watannya, jika terus berpecah dan bertelingkah, kita tidak mampu melangkah lebih jauh.

Selain memperingati kelahiran nabi seperti kelaziman saban tahun, alangkah sayugia kita mengambil ibrah daripada kepimpinan baginda untuk menangani isu besar yang negara sedang dihadapi ini.

Ini termasuk permasalahan dalam mengurus wabak penyakit, menangani krisis ekonomi yang meruncing, serta menyelesaikan isu perpecahan serius yang sedang melanda masyarakat.


Melandai Keluk Jangkitan COVID-19

Dalam usaha untuk meratakan lengkung jangkitan COVID-19 yang saban hari menunjukkan kes-kes baru yang semakin bertambah sekarang, petunjuk oleh Nabi perlu diberi perhatian serius.

Sejak 1400 tahun dulu, Pesuruh Allah ini telah mengajar prosedur operasi standard (SOP) terbaik untuk mengelak penyakit berjangkit seumpama wabak COVID-19 yang sedang menyerang sekarang.

Rasulullah telah memperingatkan supaya mengamalkan penjarakan fizikal melalui hadis baginda yang bermaksud orang-orang yang sakit janganlah mendatangi orang sihat (Bukhari dan Muslim).

Nabi juga pernah didatangi oleh rombongan Bani Thaqif yang mana salah seorang antara mereka mengidap penyakit berjangkit.

Nabi tidak bersentuhan (bersalaman) dengan mereka sebaliknya hanya bersabda yang membawa maksud sesungguhnya kami telah menerima bai’ah kamu, maka pulanglah (Bukhari dan Muslim).

Tidak cukup dengan itu, nabi juga memperingati umat baginda untuk mencegah penyakit berjangkit dengan cara tidak masuk atau keluar dari kawasan jangkitan.

Nabi bersabda yang memberi makna apabila kamu mendengar wabak di sesuatu tempat janganlah pergi ke situ, manakala jika wabak itu berlaku di tempat kamu janganlah keluar daripadanya (Bukhari dan Muslim).

Sambutan Maulidur Rasul kali ini seharusnya meningkatkan azam kita untuk mematuhi sepenuhnya SOP yang digariskan oleh kerajaan, saranan tersebut menepati sepenuhnya ajaran nabi SAW.

Sama ada arahan penjarakan fizikal, memakai pelitup muka, arahan kuarantin, serta perintah kawalan pergerakan, semuanya selari dengan petunjuk yang diajar oleh Kekasih Allah itu.

Jika kita benar-benar sayang kepada nabi, patuhilah sepenuhnya SOP yang digariskan oleh kerajaan untuk melandaikan lengkung jangkitan.

Pematuhan tersebut bukan sekadar akur kepada arahan pihak berkuasa, bahkan lebih besar iaitu sebagai tanda kecintaan yang sangat mendalam kepada baginda nabi.


Saling Membantu Waktu Sukar

Apabila bencana pandemik melanda, paling terkesan adalah rakyat, ramai yang diberhentikan kerja, hilang punca pendapatan, serta berdepan dengan masa depan yang gelap.

Bagi peniaga-peniaga kecil, mereka mula berhadapan dengan masalah aliran tunai, sukar untuk meneruskan perniagaan dalam tempoh yang sukar ini.

Bagi pekerja-pekerja dalam sektor pengangkutan, pelancongan, pembinaan dan seumpamanya, poket mula mengering apabila tiada lagi punca pendapatan.

Mereka adalah kumpulan paling terkesan daripada krisis ini, paling menyedihkan adalah anak-anak di rumah yang tidak mengerti apa-apa, yang hanya menunggu untuk disuap seperti kelaziman.

Menempuh fasa paling genting dan mencabar ini, sayugia kita meningkatkan kecaknaan dalam komuniti supaya kita hadapi situasi ini secara bersama, kita jaga kita.

Bagi individu yang kurang terkesan seperti kaki tangan kerajaan dan sektor-sektor yang tidak terjejas, wajarlah untuk menjengok jiran tetangga, saudara mara, rakan taulan dan kenalan-kenalan.

Andai ada antara mereka yang terkesan, bantulah sekadar yang termampu, sekurang-kurangnya untuk memastikan dapur mereka terus berasap, untuk memastikan ada makanan untuk disuap ke mulut anak-anak.

Konsep kita jaga kita ini sudah diajar oleh Rasulullah sekian lama, antaranya baginda sangat menganjurkan memberi makan kepada orang yang memerlukan.

Dalam satu hadis, nabi ditanya oleh seorang sahabat tentang amalan terbaik dalam Islam, lalu Baginda bersabda supaya memberi makanan dan menyampaikan salam kepada orang yang dikenali atau tidak (Bukhari dan Muslim).

Tidak terhenti di situ, dalam hadis-hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Saad, al-Hakim, at-Thabrani, at-Tirmidzi, Ibnu Majah dan lain-lain, banyak sekali Nabi mempelopori amalan memberi makan kepada orang lain.

Konsep memberi makan dan menyampaikan salam yang diajar oleh Nabi ini adalah manifestasi tertinggi untuk memupuk nilai kecaknaan dalam masyarakat, khususnya untuk membantu orang yang memerlukan.

Mengambil pengajaran sempena sambutan Maulidur Rasul tahun ini, sewajarnya segenap lapisan masyarakat mempertingkatkan tahap kecaknaan dalam komuniti untuk saling bantu membantu, khususnya menempuhi tempoh sukar ini.

Jika kita betul-betul menyintai nabi seperti yang diulang setiap kali sambutan Maulidul Rasul, sewajarnya tidak ada jiran tetangga yang kelaparan, tidak ada anak-anak ke sekolah dengan poket kosong, tidak ada kenalan menangis di penghujung malam dihambat resah yang tidak sudah.

Bersatulah, Inilah Waktunya

Tidak cukup dengan permasalahan penyakit dan ekonomi, Malaysia juga berhadapan dengan isu perpaduan yang sangat rapuh, bakal meletup bila-bila masa umpama bom jangka.

Perpecahan dalam kalangan rakyat semakin parah pasca Pilihan Raya Umum (PRU) 2018, perbezaan politik diheret ke dalam pelbagai segmen sosial yang menjadi asbab pertelingkahan.

Untuk melawan pandemik COVID-19 ini kita tiada pilihan lain, seluruh rakyat perlu bersatu tanpa syarat, hanya dengan bersatu kita akan kuat dan boleh menang.

Semua pihak perlu menjunjung titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong beberapa hari lepas supaya bersatu, fokuskan usaha memerangi COVID-19 dan menangani ekonomi sebaiknya.

Semua pihak perlu mengenepikan kepentingan peribadi dan puak, dalam tempoh sukar ini kita perlu meletakkan kepentingan rakyat dan negara sebagai keutamaan tertinggi.

Kunci utama kejayaan Negara Madinah al-Munawarah adalah perpaduan yang diasaskan oleh Nabi SAW, sehingga negara mereka jadi yang masyhur seluruh dunia.

Madinah atau nama asalnya Yathrib tidak dapat dibangunkan secara mapan sebelumnya kerana belenggu perpecahan, golongan Aus dan Khazraj yang saling bermusuhan.

Apabila sampai ke Madinah dalam peristiwa hijrah, antara langkah awal nabi adalah mempersaudarakan kedua-dua bani Aus dan Khazraj ini.

Sebagai utusan Allah yang agung, Rasulullah sangat memahami bahawa selagi rakyatnya berpecah belah, negara Madinah tidak dapat dibangunkan dengan jayanya.

Tidak cukup dengan mendamaikan kedua-dua puak tempatan yang bertelagah itu, Nabi terus mempupuk perpaduan dengan mempersaudarakan golongan Muhajirin dan Ansar.

Bermodalkan perpaduan yang utuh hasil inisiatif Nabi inilah, akhirnya Madinah berkembang maju menjadi pusat dagangan dan sosial yang tersohor seantero dunia.

Jika ingin melangkah lebih jauh mencapai tahap negara maju dengan acuan sendiri, Malaysia tiada pilihan lain, setiap warga perlu bersatu.

Sebarang perbezaan perlu diurus secara matang dan sejahtera, variasi bukan alasan untuk tidak bersatu, bahkan variasi itulah simbol yang memperkenalkan Malaysia pada mata dunia.

Semangat sambutan Maulidur Nabi pada tahun ini perlu dijadikan asbab paling kuat untuk kita mengukuhkan perpaduan seperti yang disarankan oleh Baginda, khususnya untuk mendepani pandemik COVID-19 dan kegersangan ekonomi sekarang.

Prof Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim Pensyarah Pusat Pendidikan Asas dan Lanjutan, Universiti Malaysia Terengganu.

Kisah Pemuda Beribu-Bapakan Babi

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker