‘Dulu takut, geli tapi sekarang OK…’
Kuala Lumpur: Ular pernah menjadi haiwan digeruni suri rumah dan ibu tiga anak, Wan Siti Hajar Wan Jaipol, satu ketika dulu.
Namun , ketakutannya beransur hilang selepas bermain dan belajar menjinakkan diri dengan reptilia itu hasil daripada tunjuk ajar adiknya, Wan Muhamad Rafi, 25.
Bercerita lanjut, Wan Siti Hajar, 29, yang menetap di Batang Kali, Selangor berkata, dia memelihara pelbagai spesies ular antaranya sawa batik, sawa Burma, albino dan harimau.
Bagaimanapun, katanya, reptilia itu tidak tinggal bersamanya, tetapi ditempatkan di rumah sewa berhampiran kediamannya.
“Kalau diikutkan, memang takut dengan ular, tetapi perasaan itu beransur hilang sejak melihat adik membawa pulang haiwan itu ke rumah dan bermain dengannya.
“Kebetulan, adik memang gemar bermain dengan ular sejak kecil lagi, malah kerap menerima undangan membuat pertunjukan sempena program di sekolah, jadi dia yang meyakinkan dan banyak mengajar cara menjinakkan haiwan itu.
“Lama-kelamaan, saya terbiasa dan bermula dengan suka-suka akhirnya timbul keinginan untuk memeliharanya,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.
Wan Siti Hajar berkata, dia bersyukur kerana suaminya, Azrie Abdul Manap, 27, memahami dan tidak pernah menghalang minatnya itu.
Katanya, malah Azrie menemaninya memberi makan, memandikan dan bermanja dengan haiwan kesayangannya itu pada masa terluang.
“Jujurnya, tidak sukar untuk memelihara ular kerana hanya perlu memberi makan ayam segar atau tikus putih setiap dua minggu atau sebulan sekali mengikut keadaan.
“Rutin lain adalah memandikannya sekali dalam seminggu dan saya kerap bermain dengannya.
“Adakalanya, anak akan ikut sama tetapi dipantau suami,” katanya yang membantu ibunya, Rajeah Buang, 50, mengambil tempahan dan membuat penghantaran nasi ayam, pulut kuning, kuih koci labu dan kuih buah Melaka labu kepada pelanggan.
Memandangkan hobinya dianggap pelik bagi wanita, Wan Siti Hajar tidak dapat lari daripada tanggapan sinis masyarakat terhadap hobinya itu.
Namun, dia tidak mengambil peduli kerana apa yang penting, dia tahu menjaga keselamatan dirinya.
“Segelintir individu yang tahu saya memelihara ular pasti akan mengingatkan supaya berhati-hati kerana bagi mereka, ia tetap berbahaya dan boleh ‘makan tuan’.
“Saya anggap kata-kata mereka sebagai peringatan saja mungkin kerana bimbang dengan keselamatan saya.
“Sepanjang empat tahun memelihara ular, saya pernah tercedera akibat dipatuk, tetapi sekadar luka kecil dan ia berpunca daripada kesilapan ketika memberi makan sewaktu mula-mula memelihara ular dulu,” katanya yang turut memelihara dua ekor iguana dan kucing Parsi.
Biarpun nampak berbahaya, Wan Siti Hajar seronok menghabiskan rutin harian dengan hobinya itu selain menguruskan keluarga.
Katanya, antara kepuasannya adalah setiap kali memberi makan, memandikan dan bermanja dengan ular itu.
“Selain itu, saya seronok melihat ular dipelihara itu bersalin kulit yang menjadi sebahagian proses tumbesarannya.
“Bagi mereka yang ada keinginan untuk memeliharanya terutama wanita, belajar dulu cara mengendalikannya daripada orang berpengalaman kerana ular boleh dijinakkan jika tahu kaedahnya.
“Paling penting minat dan serius memeliharanya,” katanya.-HM
https://mykmu.net/2017/07/16/ular-tiga-kepala-nak-ketuk-yang-mana-dulu/
You must be logged in to post a comment.